Dadah heroin yang dirampas polis dalam serbuan di Jelapang, Ipoh, Perak kelmarin.

IPOH – Pasangan suami isteri dan adik perempuan mereka diberkas bersama lebih 10 kilogram (kg) dadah jenis heroin dalam serbuan di sebuah rumah di Jelapang, di sini, kelmarin.

Suspek lelaki berusia 30 tahun serta dua wanita masing-masing berusia 27 dan 19 tahun iditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak pada jam 3 petang.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, serbuan dibuat ketika ketiga-tiga individu terbabit berada di rumah tersebut.

“Pemeriksaan di dalam sebuah kereta yang berada di kawasan rumah itu menjumpai dadah dipercayai jenis heroin dengan anggaran berat 10.7 kilogram bernilai hampir RM89,000.

Antara barang kemas yang dirampas.

“Polis turut menyita 22 unit barang kemas bernilai RM82,668 serta tiga kenderaan iaitu lori, motosikal dan kereta mewah bernilai RM109,500 untuk siasatan lanjut.

“Selain itu, peralatan yang dipercayai bagi membungkus dadah turut dirampas dalam serbuan tersebut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah Mohd Yusri, hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu merupakan pemandu lori dan isterinya positif dadah jenis morfin.

“Siasatan mendapati sindiket ini aktif dalam kegiatan mengedar dadah sejak September 2022 bagi pasaran negeri Perak.

“Pasangan suami isteri itu direman seminggu bermula semalam manakala adik perempuan suspek wanita direman tiga hari.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette