SERDANG – Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowment (WAZAN) dan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) berjaya menganjurkan Program Route to Technopreneur sebagai inisiatif signifikan untuk melatih dan melahirkan usahawan digital dalam kalangan siswa
UPM.
Program yang berlangsung selama lapan hari bermula 17 hingga 24 Julai dan telah
disertai oleh 13 orang peserta terpilih yang merupakan pelajar Fakulti Sains
Komputer dan Teknologi Maklumat UPM. Pendekatan yang telah digunakan
Sepanjang program ini ialah, sesi ceramah serta perkongsian pengalaman pihak
industri dan usahawan berjaya di samping lawatan ke industri.
Selain itu, para peserta juga dikehendaki menyediakan cadangan dan membuat pembentangan di hadapan juri tentang projek keusahawanan digital yang boleh dilaksanakan menggunakan teknologi IOT.
Matlamat utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta
mengenai potensi dan peluang dalam bidang keusahawanan teknologi dan
pendigitalan serta merangsang minat dalam bidang keusahawanan berinovasi.
Menariknya program ini, para peserta juga bakal menerima Pensijilan IOT dari Cisco
Malaysia yang pastinya memberikan nilai tambah yang tinggi untuk memasuki
pasaran kerjaya setelah bergraduat kelak.
Ini sekali gus memenuhi hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mahukan universiti melaksanakan program dan inisiatif untuk menjadikan pelajar “pintar dan tajam” termasuk pintar dan tajam kemahiran bukan lagi “berkemahiran tetap kaku”
Dr. Hizmawati Madzin, Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan
Pelajar (PKPP menyatakan bahawa program tersebut bertujuan memupuk
jiwa keusahawanan dalam kalangan pelajar serta mendorong mereka untuk
meneroka bidang teknologi dan pendigitalan.
Program ini juga merupakan program pensijilan yang memberi nilai tambah kepada
pelajar UPM.
“Kami berharap program ini dapat memberikan ilmu dan pendedahan yang
bermanfaat kepada peserta agar mereka dapat menggabungkan pengetahuan
teknologi dengan keusahawanan untuk mencipta produk dan perkhidmatan yang
inovatif,” katanya.
Program usahawan teknologi dan pendigitalan ini juga telah melibatkan wakil
industri sebagai penceramah dan jurulatih yang membimbing peserta mendalami
ilmu, kemahiran dan pengetahuan mereka mengenai bidang teknologi, pendigitalan dan keusahawanan.
Pelbagai idea menarik serta pengalaman yang telah dikongsi sepanjang mereka terlibat dalam bidang usahawan teknologi ini berjaya membuka mata dan minda peserta sekali gus menjadi sumber motivasi dan inspirasi yang menggalakkan mereka untuk menceburi bidang ini setelah bergraduat kelak. – MalaysiaGazette