Sebuah pusat hiburan di Bukit Bintang diserbu kerana didapati menyalahgunakan lesen kedai makan untuk hiburan. foto Ihsan D7 Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Seramai 84 wanita warga asing dipercayai GRO ditahan di sebuah pusat hiburan tidak berlesen di Bukit Bintang Ahad lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, premis ini beroperasi pada jam 8 malam sehingga 6 pagi setiap hari dan telah menyalahgunakan lesen restoran dan kedai makan yang dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Menurutnya, serbuan dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman pada jam 1.10 pagi dan ketika itu terdapat  336 pelanggan di dalam pusat hiburan berkenaan.

Kesemua wanita asing yang ditahan itu adalah berumur dalam lingkungan 18 hingga 46, selain terdapat sembilan wanita tempatan membabitkan pengurus premis, penjaga kaunter dan pekerja di pusat hiburan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pusat hiburan KTV yang didapati menyalahgunakan lesen kedai makan untuk hiburan dan menyediakan khidmat GRO wanita asing bagi aktiviti persundalan atas permintaan pelanggan di ibu negara digempur D7 Bukit Aman 23 Julai lalu. Ihsan D7 Bukit Aman

 

Menurutnya, pusat hiburan yang mempunyai 17 bilik karaoke dikenakan bayaran mengikut pakej bermula dari RM3,800 hingga RM25,000.

Ia menyediakan khidmat GRO warga asing dan tempatan atas permintaan pelanggan mengikut kadar bayaran ditetapkan.

Dalam serbuan itu, kata Razarudin polis turut menjalankan ujian saringan air kencing terhadap kesemua 336 pelanggan, 30 GRO dan 46 pekerja premis dan mendapati enam pelanggan positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

Kesemua tangkapan dan barang rampasan telah dibawa ke IPD Dang Wangi untuk
menjalankan siasatan lanjut.

“Polis menasihati agar semua pengusaha pusat hiburan sentiasa mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh penguatkuasa sekiranya hendak menjalankan perniagaan berbentuk hiburan.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya masih terdapat pengusaha pusat hiburan yang
menjalankan aktiviti terlarang seperti menggajikan GRO warga asing, persundalan dan penjualan/penggunaan dadah di dalam premis hiburan.

“Pemantauan rapi akan sentiasa dijalankan ke atas pusat-pusat hiburan bagi mengelakkan sebarang aktiviti terlarang yang berkemungkinan boleh berlaku disebabkan oleh pengunjung pusat hiburan dan juga memastikan ketenteraman awam dapat dipelihara dengan baik,” tegas Razarudin.- MalaysiaGazette