Dr Muhammad Akmal Salleh bersama calon DUN Sungai Panjang Mohd Imran Tamrin.

KUALA LUMPUR – Calon Pergerakan Pemuda UMNO yang memenangi pilihan raya di enam negeri (PRN) perlu mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang akan ditetapkan.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh, KPI berkenaan meliputi tanggungjawab yang akan dijalankan oleh calon tersebut sebagai yang berkhidmat.

Katanya, KPI akan dinilai secara berkala berdasarkan kajian sentimen rakyat mengenai pencapaian perkhidmatan calon terbabit.

“Mana-mana yang tidak menepati KPI akan dipanggil dan diberikan amaran dan tindakan akan diambil dan saya amat tegas dalam perkara ini.

“Sebelum mahu kita digelar yang berhormat, perkara yang wajib adalah mesti menjadi yang berkhidmat terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan.

Dr Akmal menegaskan, pemimpin yang dipilih mesti membawa suara rakyat dan bukannya suara pemimpin atasan sahaja.

Beliau berkata demikian selepas bertemu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin yang akan mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang hari ini.

Memasuki pilihan raya negeri di bawah khemah ‘Kerajaan Perpaduan’, Barisan Nasional bertanding di 108 kerusi daripada 245 kawasan DUN.

Sebanyak 63 peratus daripada calon yang dikemukakan itu adalah muka baharu serta 18 peratus penyandang yang dicalonkan semula.

Manakala 20 peratus lagi pernah bertanding tetapi menawarkan diri bagi memastikan kesinambungan muka lama dan baharu.-MalaysiaGazette