Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood

KUALA LUMPUR – Semua parti-parti politik dinasihatkan agar tidak memasang apa jua bentuk bahan kempen di mana-mana premis dan pepasangan elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, larangan itu termasuk menampal atau menggantung bahan-bahan kempen seperti poster, bendera, gegantung dan sepanduk di menara penghantaran, tiang elektrik, peti pembekal, pencawang, tiang elektrik konkrit dan talian atas.

Pada masa sama, katanya, kerjasama daripada semua pihak diperlukan untuk mengelak daripada melakukan kerja-kerja pengorekan tanah dalam usaha mengurangkan risiko menyentuh kabel elektrik sekaligus menghindari kemungkinan berlaku gangguan bekalan elektrik akibat kerosakan kabel.

“Perbuatan ini boleh mengundang bahaya kerana berisiko mengakibatkan renjatan elektrik. Ia juga mungkin menyebabkan gangguan bekalan elektrik ke premis-premis penting sepanjang proses pilihanraya ini seperti Pusat-Pusat Penamaan Calon, Pusat Mengundi dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.

“Nasihat kami, agar kerja-kerja pengorekan ini ditangguhkan dulu dan jika tidak dapat dielakkan, sila hubungi pejabat TNB yang berdekatan untuk mendapatkan khidmat nasihat agar semua prosedur dan tatacara dipatuhi sekaligus mengurangkan risiko gangguan.

“Manakala pemasangan bahan-bahan kempen tersebut pula boleh menghalang warga kerja TNB untuk mendapat akses untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pemulihan bekalan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Wan Nazmy turut mengingatkan orang ramai agar tidak memegang, membawa atau memasang tiang bendera di bawah mana-mana talian penghantaran elektrik termasuk tiang
bendera yang diperbuat daripada buluh yang boleh menyebabkan renjatan elektrik pada mereka yang berada berhampiran.

Jelasnya, aktiviti berbahaya itu juga menyalahi peruntukan Seksyen 37, Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), iaitu mengganggu, mencacatkan atau merosakkan pepasangan elektrik.

“Sebagai langkah pencegahan, TNB, menerusi rondaan rutin, akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dan pihak berkuasa untuk menurunkan bahan kempen pilihan raya yang berisiko menimbulkan bahaya dan masalah kepada pengguna,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai yang ternampak situasi yang boleh mengancam keselamatan orang lain atau menjejaskan bekalan elektrik, untuk segera menghubungi Facebook, TNB CareLine atau talian 15454 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi mencegah perkara yang tidak diingini berlaku. – MalaysiaGazette