KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) ingin memaklumkan pembayar cukai boleh membuat permohonan bayaran secara ansuran amaun tunggakan Cukai Pendapatan (CP) dan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) bagi tahun kebelakangan tanpa dikenakan kenaikan cukai.
Permohonan ini telah boleh dibuat mulai 06 Jun 2023 sehingga 31 Mei 2024, iaitu sepanjang tempoh Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 berlangsung.
LHDN berkata, permohonan bayaran secara ansuran bagi amaun tunggakan cukai tahun kebelakangan ini perlu dibuat secara bertulis dan boleh dikemukakan ke pejabatnya yang berhampiran atau di mana fail pembayar cukai dikendalikan bagi tujuan semakan dan kelulusan.
Selain itu, pembayar cukai juga boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian dengan menggunakan Borang Maklum Balas Pelanggan menerusi platform MyTax di Portal Rasmi HASiL.
Sebagai maklumat tambahan, dokumen sokongan tidak perlu dikemukakan bagi permohonan ini sekiranya penyelesaian amaun dibuat dalam tempoh pelaksanaan PKPS 2.0. Pembayar cukai akan diberikan kelonggaran pelepasan sementara sekatan perjalanan di bawah Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) bagi bayaran ansuran tunggakan cukai yang dibuat secara konsisten dan mematuhi jadual bayaran yang telah ditetapkan oleh LHDN.
Kegagalan mematuhi syarat bayaran yang telah ditetapkan boleh mengakibatkan kenaikan cukai dikenakan. – MalaysiaGazette