KUALA LUMPUR – Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Datuk Misbun Sidek bersedia menerima apa jua keputusan yang ditetapkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berhubung masa depannya di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Misbun yang ditemui pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas BAM berlangsung selama enam jam di ABM, Bukit Kiara, hari ini, berkata anak buahnya telah berusaha sebaik mungkin, namun masih gagal menyerlah pada Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia, baru-baru ini.
“Saya terima sahaja apa-apa pun (keputusan) kalau penggantungan ke apa… tunggu BAM huraikan apa dibincangkan (mesyuarat jawatankuasa). Apa yang berlaku di dalam gelanggang itu adakalanya luar bidang kuasa saya sebab kita hanya siapkan pemain sahaja,” katanya.
Beliau berkata, sekarang bukan masa untuk menuding jari mencari kesalahan terhadap apa yang berlaku di Yogyakarta, biarpun pemain tidak berupaya menterjemahkan apa yang mereka pelajari pada sesi latihan sewaktu pertarungan sebenar.
Pada masa yang sama, beliau turut memaklumkan masih belum membuat sebarang perancangan sekiranya BAM memutuskan untuk menamatkan khidmatnya di ABM.
Skuad remaja negara pada Kejohanan Remaja Asia (AJC) 2023 di Yogyakarta baru-baru ini menampilkan persembahan hambar apabila tumpas kepada juara bertahan, Thailand, 0-3, di peringkat suku akhir acara berpasukan campuran dan tiada seorang pemain pun layak ke separuh akhir bagi saingan perseorangan.
Kali terakhir Malaysia memenangi pingat dalam kejohanan berkenaan adalah pada 2018 menerusi beregu wanita remaja ketika itu Pearly Tan-Toh Ee Wei yang meraih perak, selain membantu skuad negara memperoleh gangsa bagi acara berpasukan campuran.
Mengenai cabaran wakil negara pada Kejohanan Remaja Dunia 2023 di Spokane, Washington, Misbun berkata para pemain perlu bekerja keras dalam sesi latihan dan bijak mencuri mata daripada pihak lawan.
Oktober tahun lepas, Malaysia gagal ke suku akhir Kejohanan Remaja Dunia di Santander, Sepanyol dan menamatkan acara berpasukan campuran di tangga kesembilan menumpaskan Denmark, 4-1.
Lebih menyedihkan apabila buat pertama kali, tiada pemain kebangsaan yang layak ke suku akhir bagi saingan perseorangan di Sepanyol.
Sementara itu, Timbalan Presiden BAM Datuk V. Subramaniam yang mengetuai jawatankuasa khas itu berkata mereka masih belum membuat sebarang keputusan dan akan membuat pengumuman tidak lama lagi.
Beliau berkata jawatankuasa yang turut melibatkan jurulatih dan pemain itu telah berbincang panjang lebar mengenai program sedia ada yang disesuaikan dengan pemain junior.
Subramaniam juga tidak menolak kemungkinan akan menambah baik program latihan semasa untuk manfaat pemain dan prestasi mereka. – BERNAMA