SINGAPURA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan ( KPKM) mensasarkan jualan sebanyak RM10 juta menerusi Expo Malaysia Fest 2023 selama empat hari yang berlangsung di Singapura bermula hari ini.
Dengan jangkaan 120,000 pengunjung, Timbalan Menteri KPKM, Chan Foong Hin berkata, sesi padanan usahawan Malaysia bersama pengimport dari Singapura melibatkan 13 pemain industri akan diadakan sepanjang tempoh itu.
Edisi kali ini disertai oleh 278 syarikat perusahaan kecil sederhana (PKS) tempatan akan mempromosi dan memasarkan pelbagai produk keluaran tempatan.
Antara tarikan utama ialah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membawakan produk segar tempatan seperti petai, nangka, cempedak dan ulam-ulaman kampung.
‘Di samping itu produk istimewa dari Sarawak seperti buah kristal serta produk hiliran Jeruk Madu Pak Ali, keropok lekor Terengganu dan banyak lagi juga kami bawakan sepanjang expo kali ini.
“Produk-produk ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada rakyat Singapura,” katanya yang menaruh harapan sesi padanan perniagaan bakal menjana hasil jualan yang baik.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Expo Malaysia Fest 2023 di Singapura petang tadi.
Selain dari Singapura, FAMA turut merancang untuk menganjur Expo Malaysia Fest di lain-lain negara bagi mempergiatkan aktiviti promosi produk agromakanan negara kepada masyarakat antarabangsa dan seterusnya meningkatkan nilai eksport produk tersebut di pasaran global.
”Kami juga dalam perancangan mengembangkan lagi potensi perusahaan dan program yang sama di Indonesia tidak lama lagi.
”Bagaimanapun tarikh dan masanya masih dalam peringkat perbincangan, namun perancangan itu telah ada dan akan dilaksanakan jika kedua-dua negara mencapai kata sepakat,’’ tambahnya.
Sebanyak 10 tan buah-buahan dan 3,000 papan petai turut dibawa masuk ke bagi memenuhi permintaan rakyat republik itu.
Ekspo ini disertai 278 usahawan serta mempromosikan lebih daripada 2,000 produk keluaran Malaysia.-MalaysiaGazette