Ahmad Zahid Hamidi. Foto AFFAN FAUZI, 22 JULAI 2023.

PUTRAJAYA – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri akan membawa isu perlakuan seksual melibatkan remaja seawal usia 13 tahun ke Kabinet.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Kerajaan Perpaduan memandang serius permasalahan tersebut dan akan membincangkan langkah drastik bagi menangani isu itu tidak lama lagi.

“Permasalah (seksual) ini amat membimbangkan… ini tentunya bukan soal politik tetapi masalah sosial yang sebenar dan kita mesti mencari jalan supaya ianya dapat dinoktahkan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Sosial Negara kali kedua di bangunan Perdana Putra, hari ini.

Hadir sama Nancy dan timbalannya, Aiman Athirah Sabu.

Ahmad Zahid berkata, permasalahan seksual melibatkan remaja itu memerlukan tindakan pelbagai kementerian antaranya penambahan waktu pembelajaran mengenai reproduktif bagi menimbulkan kesedaran murid dan pelajar mengenai kelakuan seksual.

Justeru itu, beliau menyarankan agar Kementerian Pendidikan (KPM) menambah waktu pembelajaran subjek reproduktif di peringkat sekolah.

“Ini bagi menimbulkan kesedaran pada murid dan pelajar mengenai kesalahan melakukan kelakuan seksual dan kesan-kesan yang akan menimbulkan kebejatan sosial,” katanya.

Dalam pada itu, Nancy berkata, kertas Kabinet akan disediakan kementeriannya dan akan dibawa ke mesyuarat jemaah menteri dalam tempoh dua atau tiga minggu.

Beliau berkata, isu seksual melibatkan remaja adalah membimbangkan berdasarkan kaji selidik terhadap remaja berusia 13 hingga 24 tahun yang tidak berkahwin yang dilaksanakan kementerian itu.

Nancy berkata, kolaborasi semua kementerian dan agensi amat diperlukan bagi menangani isu masalah seksual di kalangan remaja.

“Kita (KPWKM) telah anjur program pendidikan kesihatan reproduktif di merata tempat dan kali ini kita ingin panjangkan ke sekolah,” katanya.

Berdasarkan kaji selidik yang dikongsikan KPWKM, sebanyak 68.8 peratus remaja berusia 16 hingga 24 tahun pernah melakukan hubungan seks manakala 31.2 peratus remaja berusia 13 hingga 15 tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast