IPOH – Laungan amaran Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Stuart Ramalingam bahawa bahawa dua pasukan tercorot Liga Super musim ini boleh tersingkir ke saingan Liga M3 menjadikan Perak FC komited untuk memperbaiki kedudukan.
Pengerusi Perak FC Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata walaupun belum ada keputusan rasmi berhubung perkara itu, namun ia menjadi kebimbangan pihak pengurusan ketika ini dan berazam membawa perubahan untuk memastikan pasukan Seladang terus bersaing dalam liga berkenaan.
“Untuk separuh kedua musim ini, kami akan melakukan segala yang terbaik untuk mengukuhkan kedudukan kami di pertengahan liga selain menempa pencapaian sejauh yang boleh dalam saingan Piala Malaysia dan MFL,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Perak FC menyokong penuh mekanisme penyingkiran seperti yang dinyatakan dan bersedia menghadapinya kerana pasukan itu juga telah melalui dan mengharungi pelbagai cabaran dari awal pembabitan sehingga kini.
Menurutnya selepas beberapa perubahan yang dilakukan pada kakitangan kejurulatihan, pemain dan pegawai perubatan serta menstruktur semula strategi pada pertengahan musim ini, beliau yakin Perak FC mampu menjadi pasukan yang lengkap dan bermotivasi untuk memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super.
Pada masa yang sama, pihaknya turut menghargai jasa penyokong The Bos Gaurus serta kerajaan negeri menerusi agensinya seperti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) yang sentiasa menyatakan sokongan kepada Perak FC.
Empat pasukan tercorot Liga Super ketika ini masing-masing adalah bekas pasukan Liga Perdana musim lepas yang kini bergelut untuk kekal dalam saingan Liga Super.
Perak FC berada pada kedudukan ke-11 liga dengan 13 mata, mendahului Kuching City FC dan Kelantan United (tujuh mata), selain Kelantan FC yang hanya memperoleh lima mata hasil satu kemenangan sahaja setakat ini.
Dua pasukan yang berada di kedudukan terakhir di hujung liga bakal tersingkir dan dua pasukan daripada Liga M3 berpeluang beraksi di Liga Super musim 2024, namun perkara itu tertakluk kepada kelulusan pelesenan kelab pasukan terbabit. – BERNAMA