PETALING JAYA – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan, keputusan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor dibuat bukanlah atas kehendaknya, sebaliknya beliau terpaksa akur dengan arahan presiden dan pucuk pimpinan parti.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor itu berkata, beliau sememangnya mahu berehat buat sementara waktu namun, kerana parti semua itu diturutkan.
“Memang pada asalnya saya nak berehat sementara waktu, tapi berdasarkan situasi semasa, parti telah memberikan pandangan supaya saya ambil bahagian dalam PRN kali ini.
“…dan sebab itu saya akur arahan presiden dan majlis pimpinan tertinggi parti untuk bersama dengan rakan lain menyertai PRN kali ini,” katanya kepada media selepas Majlis Pengumuman calon PN, di Taman Medan, di sini, malam ini.
Pengumuman dibuat oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Azmin, beliau menerima tawaran ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan akan bekerja kuat sedaya upaya untuk pastikan parti yang diwakilinya menang di Selangor.
Sebelum ini, Mohamed Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor menegaskan tidak mahu bertanding dalam PRN Selangor seperti yang pernah diputuskan pada November tahun lalu.
Beliau sebaliknya, mencadangkan supaya calon yang lebih muda menggantikan tempatnya apabila mendakwa sudah pun menjadi wakil rakyat selama tujuh penggal di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengapa beliau tidak memilih untuk bertanding di Bukit Antarabangsa, Azmin berkata, Hulu Kelang merupakan kerusi pertama beliau mendapat mandat daripada rakyat sejak 1999.
Katanya, ketika itu beliau menjadi Ahli Parlimen Gombak selama tiga penggal, mulai 2008 hingga baru-baru ini Hulu Kelang adalah sebahagian daripada Parlimen Gombak.
“Tak timbul saya lari dari satu kawasan ke kawasan lain. Sebagai pemimpin kita harus bersedia memberikan khidmat di mana jua yang diperlukan oleh rakyat,” tambahnya. – MalaysiaGazette