Foto: FB Kementerian Kerja Raya Malaysia

KUANTAN – Sebahagian laluan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) yang ditutup sepenuhnya akibat tanah mendap di KM66.1 bermula malam Selasa, dibuka semula bagi arah Timur.

Pembukaan semula laluan itu disahkan oleh pemegang konsesi KLK, ANIH Berhad menerusi laman sosial Facebook dan Twitter pagi ini.

“Bagaimanapun, pengguna arah ke Kuala Lumpur masih perlu menggunakan laluan alternatif iaitu melalui keluar di persimpangan Bentong Timur dan masuk semula di persimpangan Bentong Barat,” menurut ANIH Berhad.

ANIH Berhad sebelum ini, memaklumkan penutupan sebahagian lebuh raya itu di kedua-dua arah ekoran tanah mendap yang berlaku berhampiran Plaza Tol Bentong.

Kementerian Kerja Raya dalam kenyataan memaklumkan laporan awal Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) mendapati tanah mendap tersebut diakibatkan daripada runtuhan terowong 2 laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang berada 13 meter di bawah laluan tersebut.

MRL menerusi kenyataan memaklumkan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian sedang dijalankan. -Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast