Bekas Gabenor Bank Negara ,Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz meninggkalkan pekerangan mahkamah kemungkinan hadir sebgai saksi perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 26 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang mula memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan pada prosiding 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menafikan Datuk Seri Najib Razak merujuk kepada bank pusat itu mengenai derma daripada keluarga diraja Arab berjumlah AS$100 juta.

Zeti mendakwa tiga pucuk surat yang merujuk kepada derma itu hanya ditemui sewaktu serbuan BNM di AmBank pada 6 Julai 2015.

Ketika soal jawab pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, Zeti berkata, AmBank mahupun Najib tidak mengemukakan surat berkenaan kepada BNM.

“Selain itu, dua surat yang dikatakan dikeluarkan kepada BNM oleh Pengarah Urusan Kumpulan 1MDB, Ashok Ramamurthy berkaitan pembukaan akaun peribadi Najib timbul ketika siasatan BNM pada Julai 2015. Najib dan AmBank tidak pernah merujuk surat-surat ini kepada BNM.

“Dua keping surat yang kononnya dihantar kepada BNM oleh Pengarah Urusan Kumpulan AmBank, Ashok Ramamurthy juga ditemukan dalam serbuan itu. Tetapi tidak ada rekod menunjukkan surat-surat bertarikh 21 September 2012 dan 30 April 2013 telah dihantar oleh AmBank atau diterima oleh BNM.

“Malah ini juga merupakan satu fakta yang telah disahkan melalui interaksi di antara Abd Rahman Abu Bakar dari BNM dan Tan Sri Azman Hashim daripada AmBank,” katanya di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Tambah beliau, kod akaun bernama AmPrivate Banking – MR didapati telah ditutup dan tiga akaun yang dibuka pada 2013 juga ditutup ketika serbuan dilakukan.

Katanya, melalui surat kepada BNM bertarikh 20 Jun 2013, Najib meminta kelulusan FEA atau Pentadbiran Pertukaran Mata Wang Asing untuk menukar RM2.26 bilion yang terdapat dalam akaun semasa daripada ringgit Malaysia kepada kepada dolar Amerika Syarikat (AS) bagi tujuan memulangkan keseluruhan amaun itu.

“Najib telah mengisytiharkan dana itu sebagai derma dan hadiah peribadi. Ambil maklum surat itu, tiada kelulusan yang diperlukan di bawah peraturan FEA,” ujarnya.

Sementara itu, Zeti memberitahu, pada 28 Januari 2011, bekas Pengarah Bukan Eksekutif AmBank, Cheah Tek Kuang bertemunya untuk memaklumkan bekas Perdana Menteri itu  akan membuka akaun dengan AmIslamic Bank.

Katanya, akaun terbabit akan dirujuk menggunakan kod khas dalam Sistem Pengurusan Ringgit Malaysia (ROMS) namun tiada perbincangan lanjut dan pertemuan dengan Tek Kuang adalah singkat.

“Tiada pada bila-bila masa, Tek Kuang memaklumkan bahawa terdapat derma akan dimasukkan ke dalam akaun tersebut, enam minggu lepas itu, beliau menghantar surat kepada Timbalan Gabenor, Nor Shamsiah Mohd. Yunus yang turut menyertakan salinan surat daripada Saud Abdulaziz Majid Al Saud bertarikh 1 Februari 2011 yang dialamatkan kepada Najib.

“Daripada itu tidak ada lagi maklumat tentang akaun Najib diberikan oleh AmBank. Tiada sebarang maklumat mengenai derma yang dimasukkan ke akaun Najib.

“Hanya satu surat berkaitan akaun Najib adalah surat bertarikh 12 Disember 2014 daripada AmBank melalui Ashok yang dialamatkan kepada Nor Shamsiah yang mendedahkan tiga akaun bernombor 2112022011880, 2112022011898, 2112022011906 dan terdapat 10 transaksi deposit membabitkan kira-kira RM4.3 juta,” ujarnya.

Menurut Zeti, bank pusat itu tidak melaksanakan pemantauan terhadap akaun peribadi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast