KUALA LUMPUR — Golongan B40, belia, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas kini boleh mendapatkan Pakej Rahmah Jalur Lebar Tetap (Home Internet) Allo dengan kelajuan 100 Mbps bersama data tanpa had pada harga RM69 sebulan.
Pakej yang diperkenalkan Allo Technology Sdn. Bhd., subsidiari Tenaga Nasional Berhad (TNB), itu juga boleh dilanggan golongan veteran tentera, pesara polis, pesara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR)/ Perumahan Awam (PA).
Pelan Pakej Rahmah tanpa had data dan tertakluk kepada kontrak 24 bulan itu boleh dilanggan bermula hari ini, dengan tawaran dibuka sepanjang masa.
Setakat ini, akses rangkaian liputan Pakej Rahmah Allo meliputi Kedah, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor serta Cyberjaya,
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, ia RM30 lebih murah daripada pelan pelan Allo sedia ada dan merupakan pelan jalur lebar tetap 100Mbps dengan harga terendah di dalam negara.
Katanya, tawaran pakej itu selaras dengan matlamat Kerajaan Perpaduan untuk mengurangkan beban kos sara hidup.
Jelasnya, ini kerana Allo memberi tumpuan kepada liputan di kawasan luar dan pinggir bandar.
“Inisiatif Pakej RAHMAH ini merupakan bukti bahawa keperluan dan kebajikan rakyat untuk menikmati perkhidmatan Internet dengan harga lebih murah dan mampu milik, diberi perhatian serius oleh Kerajaan Perpaduan dan syarikat penyedia perkhidmatan.
“Inisiatif ini juga sejajar dengan hasrat Kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup. Pada masa sama, memastikan kesalinghubungan digital yang menyeluruh buat segenap lapisan masyarakat,” katanya.
Fahmi berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Pakej Rahmah Jalur Lebar Tetap Allo, di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalannya, Teo Nie Ching dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din.
Sementara itu, menurut Fahmi, bagi memperingati inisiatif yang diperkenal Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, inisiatif Pakej Perpaduan dijenamakan semula sebagai Pakej Rahmah berkuat kuasa hari ini.
Katanya, ia selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 25 Julai lalu, sebagai inisiatif nasional kepada kumpulan sasar B40.
Penjenamaan itu termasuk Pakej Perpaduan Internet Mudah Alih (Prabayar) dan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap (Home Internet) serta Pakej Perpaduan PPR/PA @MyKabel. -MalaysiaGazette