Calon MUDA bagi DUN Batu Tiga, Cheda (kanan) mahu jadi pejuang rakyat.

SHAH ALAM – Cheda atau nama sebenar, Saiyidah Izzati Nur Razak Maideen ada sebab kenapa menjadi calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga.

Ini kerana wanita berusia 35 tahun yang lahir dan membesar di Shah Alam itu mahu menjadi pejuang suara rakyat.

Jika sebelum ini beliau seorang peguam yang berjaya dan kini bersemangat untuk berkhidmat kepada komunitinya.

Sebagai Timbalan Ketua MUDA Parlimen Shah Alam dan juga Presiden Persatuan Suara Selangor, Cheda telah menunjukkan komitmennya membantu mereka yang memerlukan.

Saiyidah Izzati Nur Razak Maideen

Katanya, penglibatan dalam politik dan pergerakan sukarelawan juga atas inisiatif untuk membantu masyarakat tanpa mengira latar belakang dan keturunan.

“Sebagai anak jati Shah Alam, kita telah membesar dengan isu banjir, ini juga antara perkara yang saya suarakan menerusi platform politik.

“Menerusi gerakan NGO, saya dan sahabat lain telah berjaya mengumpulkan seramai 150 sukarelawan untuk misi bantuan banjir Shah Alam saat terjadinya banjir,” ujarnya ketika ditemui.

Beliau juga telah berjaya mengumpul sebanyak RM30,000 bagi membantu meringankan beban hidup penduduk yang terkesan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan ketika pandemik lalu.

Usahanya tidak sia-sia, beliau telah terpilih oleh kerajaan negeri Selangor menjadi salah seorang Duta Perpaduan untuk DUN Batu Tiga bulan lepas.

Bukan sahaja memiliki sifat kemanusiaan yang tinggi, Cheda juga merupakan satu contoh yang baik untuk wanita.

Beliau telah menjadi salah seorang finalis untuk program pencarian Gadis Inspirasi Selangor 2023 dan Siswanis iaitu sebuah platform yeng mencungkil bakat wanita sebagai pemimpin.

Cheda juga memberikan khidmat guaman percuma kepada para pelajar dan mereka yang tidak berkemampuan sekitar Shah Alam.

“Berdasarkan pengalaman bersama masyarakat, saya melihat masih banyak lagi perkara perlu dilakukan khususnya dalam membawa suara rakyat.

“Justeru, platform politik melalui MUDA adalah peluang untuk saya mereaslisasikan hasrat tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette