Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.-MUHD NA’IM, 27 JULAI 2023.

PUTRAJAYA – Tiada perbincangan dilakukan di peringkat kerajaan bagi menurunkan harga runcit bahan api terutama RON95 dan diesel.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, beliau mengakui kali pertama mendengar desas-desus yang dikeluarkan oleh badan penyelidik, MIDF Research, mengenai perkara itu.

Menurutnya, selepas tujuh bulan di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan, tidak pernah sekali pun perkara (menurunkan harga bahan api) itu dibincangkan di peringkat kerajaan.

“Sampai sekarang, saya tidak pernah dengar malah, tidak pernah ada perbincangan mengenainya. Sebenarnya harga minyak mentah dunia sudah naik kepada AS$70 setong dan pernah mencecah sekitar AS$83 setong.

“Keputusan menurunkan harga bahan api ni sebenarnya di bawah Kementerian Kewangan kerana ia membabitkan peruntukan subsidi bahan api.

“Mungkin boleh tanya MIDF, mana mereka dapat berita dan desas desus itu,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah Malaysia, 2022 di sini, hari ini.

Sebelum ini, MIDF Research menjangkakan kerajaan akan mempertimbangkan untuk menurunkan harga runcit bahan api terutamanya RON95 dan diesel.

Difahamkan, kerajaan akan membuat pertimbangan itu selepas mengambil kira inflasi makanan yang terus meningkat selain, tekanan ke atas pendapatan pengguna.

MIDF menjelaskan, kerajaan dijangka menurunkan harga RON95 sebanyak 10 sen kepada RM1.95 seliter bulan depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast