KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertindak memecat keahlian seorang anggotanya serta-merta dan mengantung keahlian dua lagi selama tiga tahun.
Kesemua mereka melanggar Fasal 10.2.2 Perlembagaan Bersatu yang melibatkan perbuatan menghasut, memboikot dan mensabotaj kempen pilihan raya Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keputusan itu diambil dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi pada 26 Julai lalu.
Beliau dalam kenyataan hari ini bagaimanapun tidak mendedahkan nama ahli yang dikenakan tindakan tersebut.
“Bersatu menegaskan bahawa mana-mana ahli yang tidak mendapat kebenaran parti tetapi bertindak melanggar disiplin parti dengan bertanding, menjadi pencadang atau penyokong kepada mana-mana parti lain atau calon Bebas, keahliannya terhenti serta-merta mengikut Fasal 10.2.4 Perlembagaan Bersatu,” katanya.
Sementara itu menurut Hamzah, Bersatu menzahirkan komitmen tertinggi untuk memastikan gerak kerja parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Negeri berada pada tahap paling maksimum bagi menjamin kemenangan PN. – MalaysiaGazette