KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang menceroboh trek transit aliran ringan (LRT) serta mencabul seorang penumpang wanita di Stesen LRT Maluri, Cheras, di sini, dipercayai mengalami masalah mental.
Menuirut kenyataan Rapid Rail, dalam kejadian jam 7.58 pagi suspek menceroboh trek LRT menerusi platform satu ke platform dua dan kemudian cuba mencabul salah seorang wanita yang sedang menunggu tren di platform tersebut.
“Susulan kejadian itu, anggota Polis Bantuan yang bertugas di platform bertentangan bergegas turun ke bawah untuk ke platform tempat kejadian bagi memberikan bantuan kepada mangsa yang sedang bergelut dengan suspek,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Rapid Rail, orang awam yang melihat kejadian berjaya membantu meleraikan mangsa dari suspek namun tidak dapat memberkas lelaki itu kerana tindakannya yang sangat agresif.
“Suspek sekali lagi bertindak menceroboh landasan dan mengetuk dinding tren yang kebetulan sedang berhenti di stesen. Suspek telah meloloskan diri dari stesen tersebut pada jam 8.05 pagi.
“Bagaimanapun, mangsa dan saksi telah dibawa oleh anggota polis ke balai polis bagi tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Menurut kenyataan itu, Polis Bantuan Prasarana bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu menyiasat dan mengesan sehingga tertangkapnya suspek.
Susulan insiden itu, Rapid Rail telah mengambil tindakan segera dengan menambah anggota Polis Bantuan di stesen-stesen untuk meningkatkan kawalan keselamatan bagi mengelakkan perkara sama berulang.
Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 11 saat memaparkan tindakan seorang lelaki bertindak melakukan gangguan seksual dengan memeluk seorang wanita di kawasan menunggu stesen (LRT) Maluri, Cheras.
Turut kedengaran suara mangsa meminta tolong dan tindakan pantas orang awam yang berada di lokasiberjaya menyelamatkan wanita itu.
Dalam pada itu, lelaki yang berpakaian baju hitam dan berseluar jean putih turut dilihat berdiri di atas landasan kereta api dengan memukul LRT yang sedang bergerak dengan menggunakan kasutnya. – MalaysiaGazette