Dr. Haim Hilman Abdullah.

KUALA LUMPUR – Pemendekan tempoh pelantikan Dr. Haim Hilman Abdullah sebagai Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) disebabkan laporan prestasi kepimpinan beliau.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan berkata, laporan itu dikemukakan Lembaga Pengarah Universiti melalui surat bertarikh 16 Jun 2022.

Bagaimanapun, sebelum keputusan pemendekan diambil, satu
jawatankuasa telah ditubuhkan di peringkat KPT bagi meneliti dan menilai laporan yang diterima.

Dalam hubungan ini, Dr. Haim dan beberapa orang pegawai kanan UUM telah dipanggil ke KPT pada 23 dan 29 September 2022 untuk memberi keterangan bagi menjelaskan perkara yang telah dibangkitkan bagi mencari kaedah penyelesaian terbaik demi kepentingan UUM.

“Kementerian sentiasa tegas dan komited dalam memastikan kepimpinan universiti awam, bukan sahaja harus mempunyai kesarjanaan tetapi perlu berupaya menjadi pemimpin institusi yang bijak mengurus kepelbagaian sumber dengan baik,” kata kenyataan yang sama.

Penjelasan KPT itu ekoran penularan video Dr Haim yang mendakwa beliau dipendekkan tugas sebagai Naib Canselor UUM tanpa diberi sebarang sebab selain ada pihak yang mahu merebut jawatan itu.

Dr Haim kini merupakan calon Perikatan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Jitra dalam Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.