Foto Facebook Haim Hilman Abdullah.

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr. Haim Hilman Abdullah meluahkan isi hatinya selepas sah menjadi calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Menerusi hantaran di Facebook – beliau mengakui mula redha dan menerima takdir tuhan serta turut menyifatkan perancangan Allah lebih hebat mengatasi perancangan manusia.

“Sahabat semua, semoga sentiasa berada di dalam rahmat Allah. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana masih memberikan saya kudrat dan akal fikiran bagi menjalani hidup ini.

“Saya mempunyai jiwa mendidik anak bangsa. Oleh kerana itu saya setia berkhidmat sebagai seorang pendidik selama 23 tahun.

“Saya percaya bahawa dengan menyatukan bangsa dan memperkasakan agama, kita dapat membina masyarakat yang bertamadun.

“Ketika ini, saya telah membuat satu keputusan yang besar dalam hidup saya. Tak pernah saya terfikir situasi ini akan saya lalui. Sesungguhnya saya tidak akan kuat melainkan dengan bantuan Allah dan sokongan sahabat semua.

“Hari ini bertarikh 29 Julai 2023, secara rasminya saya menjadi calon bagi kerusi N.06 Jitra. Terima kasih kepada Perikatan Nasional dan  Datuk Seri Sanusi Md Nor atas kepercayaan ini,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan pentadbir, pensyarah, staf sokongan dan anak pelajar di UUM yang banyak membantunya sebelum ini.

“Sebak apabila teringatkan balik kenangan dan pengalaman yang dilalui di UUM. Saya bermula daripada seorang pensyarah biasa sehingga dinaikkan menjadi Naib Canselor.

“Pada mulanya saya sedikit terkilan kerana kontrak saya sebagai Naib Canselor dipendekkan secara mengejut dan tergesa-gesa. Sedangkan saya berhabisan keringat berbakti kepada kampus yang melahirkan saya.

“Hari ini, saya mula redha dan menerima takdir illahi. Perancangan Allah lebih hebat mengatasi perancangan manusia. Kita selalu merasakan bahawa kita hebat dan bijak merancang, tetapi kita lupa bahawa Allah sebaik-baik perancang.

“Saya rasa terpanggil membantu Datuk Seri Sanusi apabila meneliti gagasan The Greater Kedah yang ingin dibawakan. Dengan sedikit pengalaman kehidupan dan kerjaya yang saya lalui, saya akan berikan segalanya kepada negeri yang tercinta ini.

“Jitra merupakan tempat yang mempunyai potensi besar untuk dibangunkan. Banyak isu-isu yang telah saya teliti dan perancangan yang saya fikirkan bagi membantu menjayakan gagasan The Greater Kedah.

“Buat warga Jitra, kita akan berjumpa dari semasa ke semasa. Saya sudah merancang untuk turun ke setiap kampung dan kawasan yang ada di dalam Jitra ini. Jika kita tidak sempat berjumpa pada tempoh Pilihan Raya ini, kita pasti akan berjumpa selepas daripada itu.

“Sahabat, jangan lupa letakkan nama saya dalam doa kalian. Dengan rendah hati, saya memohon sokongan dan dorongan semua.

“Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan bantuan Allah SWT. Doakan saya agar dipermudahkan segala urusan,” tulisnya panjang lebar.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberitahu, pemendekan tempoh pelantikan Dr. Haim Hilman Aebagai Naib Canselor UUM disebabkan laporan prestasi kepimpinan beliau.

KPT dalam satu kenyataan berkata, laporan itu dikemukakan Lembaga Pengarah Universiti melalui surat bertarikh 16 Jun 2022. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pemendekan tempoh Dr Haim sebagai Naib Canselor UUM kerana laporan prestasinya – KPT

2 Komen

  1. En Shake, ak payah nak hina orang lain kalau ada rasa iri di hati. Memang ada kalau Di kategorikan kangkung di dalam negara..kalau nak diberi gelaran elok lah tuan halakan kumpulan Professor yg sokong PM sedia ada..kerana yg kangkung shj..tergamak menyokong pimpinan kangkung..itu lebih dahsyst natijahnya.tak perlu mengutuk..ahli ilmu..bertahun mereka mendaki payah mencapai..”esteem in life” jadi siapalah kita nak menilai mereka
    Bagi saya jujurnya Dr Haim Hilman adalah insan istimewa dlm kelasnya tersendiri.

Comments are closed.