KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang bertindak melakukan gangguan seksual terhadap wanita di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Maluri, Cheras, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.49 pagi semalam.
“Seorang wanita berusia 27 tahun telah membuat laporan polis di Balai Polis Cheras dan kini pihak polis sedang dalam usaha untuk mengesan suspek terbabit.
“Susulan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut sedang diteruskan untuk mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyatan, hari ini.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menyalurkannya kepada Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berdekatan.
Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 11 saat memaparkan seorang lelaki melakukan gangguan seksual dengan memeluk seorang wanita di kawasan menunggu stesen LRT Maluri, Cheras.
Dalam rakaman video tersebut kedengaran suara mangsa meminta tolong dan tindakan pantas orang awam yang berada di lokasi berjaya menyelamatkan wanita itu.
Dalam pada itu, lelaki yang berpakaian baju hitam dan berseluar jean putih turut dilihat berdiri di atas landasan kereta api dengan memukul dinding LRT yang sedang bergerak dengan menggunakan kasutnya. – MalaysiaGazette