KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan lima lelaki yang terlibat dalam pergaduhan di Batu 8, Jalan Tanjung Rambutan, Ulu Kinta, Perak seperti yang tular di laman media sosial.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya telah mengesan video berdurasi 16 saat itu menerusi aplikasi whatsapp.

“Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 5.30 petang pada 27 Julai, melibatkan lima lelaki warga tempatan.

“Polis kini sedang mengenal pasti punca pergaduhan mereka dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu kerana merusuh menggunakan senjata,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu dan mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Norshaharah Marzuki di talian 010-3790508.

Terdahulu, tular video berdurasi 16 saat yang memaparkan seorang lelaki dipukul di atas jalan raya oleh tiga lelaki bertopi keledar selepas berlaku pertengkaran antara mereka.

Dalam pergaduhan itu mereka menggunakan kayu dan rotan. – MalaysiaGazette