PADANG TERAP – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berdepan saingan empat penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan 12 Ogos ini.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO akan mencabar penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu yang juga calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Radzi Md Amin.
Pengumuman oleh Pegawai Pengurus Pilihanraya, Iman Hazwan Abd Halim dilakukan di Pusat Penamaan Calon (PPC) di pusat penamaan calon di Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap pukul 10.25 pagi.
Sementara itu, Mahdzir yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu pada 2004 sehingga 2013 sebelum dilantik sebagai Menteri Besar Kedah dari 2005 hingga 2008.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November lalu, Mahdzir gagal mempertahankan kerusi disandangnya di Parlimen Padang Terap.
Kemunculan Mahdzir bertanding kerusi DUN menguatkan lagi desas-desus beliau bakal mencipta sejarah dilantik kali kedua sebagai Menteri Besar selepas Datuk Seri Mukhriz Mahathir, sekiranya Kerajaan Perpaduan gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) berjaya merampas Kedah.
Kedah memiliki 36 kerusi DUN untuk direbut dalam PRN ini dengan 21 kerusi akan ditandingi oleh komponen PH.
Gabungan PH-BN bergandingan buat kali pertama sebagai rakan politik selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Kesepakatan gabungan itu selari dengan kempen ‘kalih bagi sama’ dalam misi merampas Kedah daripada Perikatan Nasional (PN) pimpinan Pas, yang menguasai 20 kerusi sebelum pembubaran DUN pada 28 Jun.
Seramai 28,586 pengundi akan menunaikan tanggungjawab di DUN Pedu menerusi 51 pusat mengundi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Julai sebagai tarikh penamaan calon, diikuti 8 Ogos sebagai hari pengundian awal dan 12 Ogos hari pengundian.
Berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) dikeluarkan SPR, jumlah pengundi berdaftar di Kedah sebanyak 1,585,085. – MalaysiaGazette