Calon Barisan Nasional P.03 Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin bercakap kepada media selepas menyerahkan borang penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) di Dewan Seri Bernam, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 29 JULAI 2023.

SUNGAI BESAR – Calon Perpaduan untuk kerusi Dewang Undangan Negeri (DUN) N03 Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin berazam untuk meneruskan legasi bekas wakil rakyat kawasan itu terdahulu yang tertangguh sebelum ini.

Beliau berkata, banyak inisiatif Datuk Dr Budiman Zohdi yang baik dan perlu diteruskan sekiranya beliau diberi mandat sekali lagi.

“Ia tergendala dan tertangguh dek kerana kegawatan dan rencam politik dalam penggal lepas yang kita tak dapat nak laksanakan sejak penggal ke-14 lalu.

“Kali ini kita nak bina kestabilan supaya kita boleh laksanakan balik inisiatif itu.

“Tuisyen percuma rakyat, program kebajikan serta bantuan lain yang telah ada sekian lama,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyerahkan borang pencalonan sebagai calon Perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN-15) Selangor bagi kerusi N03 Sungai Panjang di Dewan Seri Bernam, di sini.

Mohd Imran yang menyandang kerusi itu sejak PRU14 dicabar calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Razali Saari.

Dalam pada itu, Mohd Imran yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar akan memperjuangkan kek ekonomi rakyat luar bandar.

“Ia bakal memberi manfaat dalam Sabak Bernam Development Area (SABDA) sampai terus ke DUN Sg Panjang,” katanya.

Mohd Imran juga mengakui bahawa PRN ke-15 Selangor agak mencabar bagi dirinya, selaku calon Perpaduan.

“Satu pilihan raya yang mencabar bagi diri saya kerana saya adalah penyandang Ahli Dewan Negeri Sungai Panjang untuk tempoh penggal ke-14 yang lepas.

“Kali ini tekad dan komitmen saya adalah untuk menambah baik perkhidmatan dan penyampaian saya.

“Saya yakin dengan adanya kerjasama ini, BN akan beri nilai tambah kepada pelaksanaan dan tawaran baharu yang boleh kita tawarkan kepada penduduk dan warga DUN Sg Panjang,” katanya. – MalaysiaGazette