Peniaga kedai makan D'Contena, Taman Bukit Coral Height, Sikamat, Seremban yang tiada bekalan air bersih dari paip sejak memulakan perniagaan di situ lima bulan lalu. Foto: Shahrin Zamzuri

SEREMBAN – “Kami sudah tak tahan lagi setiap hari terpaksa angkut air paip untuk kegunaan kedai makan sejak lebih lima bulan lalu, malah pelanggan yang datang juga terkejut tiada bekalan air paip bersih di sini,”.

Itu keluhan 22 peniaga kedai makan kontena D’Contena, Taman Bukit Coral Height, Sikamat di sini mendesak kerajaan negeri segera mengatasi masalah itu demi keselesaan pelanggan dan peniaga.

Peniaga sarapan pagi, Epa Apriani, 33, berkata lebih memeritkan, ketiadaan sistem perpaipan yang sempurna menyebabkan berlaku masalah dari segi kebersihan dan longkang tersumbat.

Epa Apriani

“Setiap kali ada pelanggan baru datang ke sini, mereka terkejut apabila melihat kawasan medan selera yang cantik dan beroperasi dari pagi hingga malam ini tiada bekalan air.

“Lebih malang, apabila ada mereka mempersoalkan air dari sumber mana yang kami gunakan untuk memasak kerana bimbang bekalan air tangki mungkin tercemar,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Keadaan kedai makan D’Contena, Taman Bukit Coral Height, Sikamat, Seremban yang tiada pelanggan kerana tidak mempunyai bekalan air bersih dari paip sejak lima bulan lalu.
Foto: Shahrin Zamzuri

Tambahnya, lebih buruk apabila sebelum ini pernah berlaku bekalan air tidak mencukupi kerana jumlah pelanggan yang ramai pada hari Ahad.

“Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) akan mengisi air di dalam tiga tangki besar di sini setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat dan pernah berlaku, bekalan air kering pada hari Ahad kerana pelanggan ramai pada hari Jumaat

“Waktu pelanggan ramai, bekalan air pada hari Jumaat akan habis pada hari Sabtu sehingga menjejaskan peniaga yang beroperasi pada hari Ahad,” katanya.

Nurul Ameen Ishak

Seorang lagi peniaga cendol dan minuman, Nurul Ameen Ishak, 56, berkata, semua peniaga di situ menggunakan air yang dibawa dari rumah atau dibeli untuk pelanggan.

“Memanglah, SAINS kata air yang dibekalkan di tiga tangki medan selera di sini bersih, tapi ramai juga pelanggan malah kami sendiri bimbang untuk gunakannya dalam masakan atau minuman.

“Sebab itu, setiap hari saya akan beli air minuman bertapis dari mesin air bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini kepada pelanggan” katanya.

Kanak-kanak membantu ibu-bapa mengangkut bekalan air dari tangki untuk kegunaan di kedai makan D’Contena, Taman Bukit Coral Height, Sikamat, Seremban yang tiada bekalan air bersih paip sejak lima bulan lalu. Foto: Shahrin Zamzuri

Tambahnya, masalah itu juga menyebabkan longkang di situ kerap tersumbat apabila air basuhan pinggan mangkuk terus disalurkan ke dalam longkang kerana ketiadaan sistem perpaipan.

“Kami difahamkan, bekalan paip air bersih akan dipasang pada Disember ini namun berharap kerajaan dapat mempercepatkannya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Apa lagi yg ditunggu masa sudah hampir sampai..pilihan ditangan anda..lakukan tanggungjawab anda 12 Ogos ini. Peluang dah didepan mata. Tepuk dada tanya kehendak.

Comments are closed.