Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia dan Thailand akan bekerjsama untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terlibat dalam insiden letupan di Mukim Mundok, Daerah Sungai Golok, Wilayah Narathiwat, Thailand petang semalam.

Pengerusi Inisiatif Madani Serantau (IMAR), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya berharap bantuan yang perlu dapat diberikan kepada mangsa secepat mungkin.

Katanya, siasatan terperinci juga perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian berkenaan berlaku.

“Kami merakamkan rasa simpati yang mendalam kepada semua keluarga yang terjejas dan berharap mereka akan terus tabah menghadapi kesedihan kehilangan orang tersayang.

“Bagi keluarga Islam yang terjejas kami sampaikan takziah kami kepada mereka. Kami berdoa untuk roh mereka dicucuri Rahmat Allah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, sebuah gudang penyimpanan mercun dan bunga api yang terletak berhampiran Sungai Golok meletup hingga mengorbankan beberapa orang dan mencederakan ratusan lagi.

Bagaimanapun, Kementerian Luar Negeri melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla mengesahkan setakat ini tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terlibat dalam insiden terbabit.

Wisma Putra turut memaklumkan, sebarang perkembangan terkini mengenai insiden itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam letupan di Narathiwat