Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berucap pada Program Santai Kebudayaan di Sungai Panjang, Selangor Foto MUHD NA’IM 29 JULAI 2023.

SUNGAI BESAR – Pengundi muda yang akan balik mengundi pada 12 Ogos ini diingatkan  tidak terlalu bergantung kepada kandungan media sosial TikTok untuk mengenali seseorang calon.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, sebaliknya mereka perlu merujuk kepada penduduk tempatan untuk mengenali calon, apatah lagi penyandang kerusi.

“Kita kena pastikan anak-anak kita yang tinggal di luar sana, jangan sampai mereka balik, mereka satu sahaja, dia lihat TikTok.

“Sedangkan calon daripada Perikatan Nasional (PN) ini tak pernah pun menyumbang di kawasan,” katanya ketika berucap pada program Santai Kebudayaan dan Kesenian di Dataran Merbau Berdarah, di sini, malam tadi.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berucap pada Program Santai Kebudayaan di Sungai Panjang, Selangor Foto MUHD NA’IM 29 JULAI 2023.

Terdahulu, proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) kerusi N03 Sungai Panjang menyaksikan saingan satu lawan satu, antara calon Perpaduan dan PN.

Pertembungan itu menyaksikan penyandang yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Mohd Imran Tamrin akan dicabar calon PN daripada Pas, Mohd Razali Shaari.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mohd Imran memenangi kerusi DUN Sungai Panjang dengan majoriti 2,084 undi selepas menewaskan calon daripada Pas dan PKR.

Jamal turut mempersoalkan keupayaan calon PN apatah lagi Mohd Razali tidak pernah dilihat dalam memberi khidmat kepada masyarakat di kawasan itu.

“Siapa dia calon PN daripada Pas, letak calon tanding tiga kali kalah.

“Kalau nak dibandingkan calon daripada PN Ustaz Razali dengan Datuk Imran.

“Tuan-tuan puan-puan, pernah jumpa tak calon daripada PN kunjung rumah ke rumah bantu masyarakat di Sungai Panjang?

“Tak pernah pun,” katanya lagi. – MalaysiaGazette