Syed Rosli Jamalullail

KUALA LUMPUR – Seorang pimpinan UMNO Bahagian Pandan kecewa kerana parti itu tidak terpilih sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pandan, Syed Rosli Jamalullail berkata, ia adalah kegagalan pucuk pimpinan parti termasuk peringkat negeri memperjuangkan hak parti.

“Saya amat sedih dengan keputusan ini dan terpaksa akur dengan keputusan parti biar pun nasi telah menjadi bubur.

“Buat pertama kali dalam sejarah di dalam DUN Pandan Indah ini tiada bendera BN akan berkibar dan sudah pastinya akan memberikan kesedihan pada ahli-ahli UMNO di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kerusi DUN Pandan Indah yang dahulunya memang dikenali sebagai kerusi DUN Chempaka adalah kerusi tradisi UMNO bertanding.

Selepas kerusi Parlimen dimiliki oleh PKR iaitu Rafizi Ramli dan DUN Teratai juga ditandingi oleh calon dari DAP sepatutnya kerusi DUN Pandan Indah perlu diserahkan pada UMNO/BN bagi mengambarkan satu keputusan perpaduan yang baik, katanya.

Pada PRN kali ini DUN Pandan Indah ditandingi calon PH dari Amanah yang juga penyandangnya, Ir Izham Hashim.

Izham dicabar calon MUDA, Lisa Redzuan, calon Perikatan Nasional, Fazil Mohamad Dali dan bebas, R. Sivaneswaran. – MalaysiaGazette