KUALA LUMPUR – Peminat TikTok bakal menyaksikan bintang platform digital popular baru tempatan bersaing pada TikTok Awards MY 2023 yang julung kali dianjurkan di Malaysia.

Anugerah berkenaan dilaporkan bakal berlangsung pada Ogos.

Semalam calon tujuh kategori People’s Choice diumumkan secara eksklusif dalam program Melodi yang disiarkan secara langsung TV3 dan strim ‘live’ di TikTok Malaysia.

Pada program itu, enam TikTokers popular iaitu Khairul Aming, Gaston Pong, Auntie Purple, Ceddy, Lawyer Gandhi dan Caryn turut disenaraikan.

Semua TikTokers berkongsi perjalanan mereka dalam platform berkenaan sehingga menjadi sumber inspirasi rakyat Malaysia.

TikTok Awards yang sebelum ini mendapat sambutan hangat di Vietnam, Indonesia, Filipina, Thailand, Jepun dan Brazil, bakal menjadi platform mengiktiraf pencipta kandungan tanah air yang menghasilkan kandungan kreatif sebagai sajian berjuta-juta pengikut.

Orang ramai boleh mengundi calon dalam tujuh kategori People’s Choice ini melalui aplikasi TikTok dengan carian TikTok Awards, mulai 15 Ogos hingga 26 Ogos depan.

Sementara itu, pengguna TikTok yang menetap di Malaysia boleh menjadi sebahagian daripada acara terbesar TikTok tahun ini dengan menyerahkan penyertaan mereka bagi kategori Judge’s Pick.

Mereka hanya perlu berkongsi kisah inspirasi mereka di TikTok dari semalam hingga 14 Ogos ini.-MalaysiaGazette