Calon Perikatan Nasional (PN) N.22 Gurun, Baddrol Bakhtiar bersama Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahya mengangkat tangan selepas Ceramah Mega Perikatan Nasional Dun Gurun sempena Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) Kedah di Dataran Caltex Pewaja, Gurun. Foto MOHD ADZLAN, 30 JULAI 2023.

GURUN – Pas Kedah memutuskan hanya Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menjadi calon Perikatan Nasional (PN) untuk jawatan menteri besar bagi negeri itu.

Menurut Pesuruhjayanya, Datuk Ahmad Yahya, setakat hari kedua kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini, tiada calon kedua selain Sanusi.

“Setakat ini kita letakkan dia (Sanusi) adalah calon utama tidak ada calon kedua untuk Pas Kedah.

“Tapi kita faham, kita menghormati sistem untuk lantikan dan sebagainya sudah tentu dan PN Kedah akan mengangkat cadangan ini kepada Pas Pusat dan dipersembahkan kepada Sultan Kedah,” katanya kepada media selepas menghadiri siri ceramah mega Perikatan Nasional DUN Gurun di Dataran Caltex, Pewaja Steel, malam tadi.

Hadir sama Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit dan calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar.

Bagaimanapun Ahmad berkat,a keputusan itu adalah berdasarkan kepada sudut politik yang digambarkan oleh Pas Kedah.

“Adab, susun atur dan proses itu akan diikut sebagaimana yang dituntut.

“Cuma dari sudut politik kita tegaskan itulah (Sanusi) satu-satunya calon kita,” katanya lagi.

Sebelum ini, Sanusi berkata, beliau belum pasti sama ada kekal sebagai Menteri Besar Kedah atau jawatan itu bakal digantikan dengan wakil rakyat lain. – MalaysiaGazette.