Nik Abduh Nik Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz mengambil keputusan untuk berehat daripada politik untuk satu jangka waktu.

Anak bekas Mursyidul Am Pas Datuk Nik Aziz Nik Mat itu berkata, beliau dan ibunya ketika ini melalui tempoh yang sukar.

Nik Abduh dalam kenyataan ringkas mendoakan parti Pas akan mendapat kepimpinan yang terbaik.

“Saya puasa dan berehat daripada politik tanah air untuk satu tempoh. Ia tempoh paling sukar untuk saya dan bonda.

“Semoga Pas bertambah gagah dengan kepimpinan terbaik untuk memacu masa depan negara,” katanya.

Nik Abduh menjadi tumpuan selepas tidak tersenarai sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri Kelantan. Nama beliau turut digugurkan ketika Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu.

Bapa saudara beliau, Nik Din Nik Mat sebelum ini mendedahkan, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah adalah punca Nik Mohamad Abduh tidak dicalonkan.

Menurut beliau, nama bekas Ahli Parlimen Bachok itu pada awalnya ada sebelum ditolak oleh Mohd Amar.

Katanya, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri turut menghantar surat meminta Pas Kelantan menyenaraikan nama Nik Mohamad Abduh.

Dakwanya, tindakan itu dibuat kerana calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor itu tidak mahu keluarga Allahyarham Nik Abdul Aziz bertapak di Pengkalan Chepa.

Pendedahan itu dikongsikan menerusi satu rakaman video berdurasi dua minit 33 saat yang tular sejak petang ini.

Parti itu telah pun mengeluarkan arahan supaya ahli tidak membuat kenyataan kecuali selepas diizinkan presiden mereka.

“Sebarang kenyataan media tidak boleh dibuat melainkan dengan kebenaran Presiden Pas bagi mengelakkan timbulnya suasana yang boleh merugikan perancangan khususnya dalam tempoh pilihan raya ini,” katanya.-MalaysiaGazette