Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berucap pada Program Ceramah Kelompok Paroi Sejahtera sempena kempen Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) di hadapan Masjid At-Taqwa Kampung Paroi, Negeri Sembilan. Foto AFFAN FAUZI, 30 JULAI 2023.

SEREMBAN – Keputusan tidak bertanding dalam PRN Kelantan dibuat oleh Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz atas kerelaannya sendiri.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menambah, Nik Mohamad Abduh membuat keputusan itu kerana ingin memberi tumpuan terhadap Mahaad Darul Anuar peninggalan arwah bapanya, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Saya secara peribadi sudah jumpa dia semalam, saya ziarah dia masih kekal,” katanya kepada pemberita selepas program ceramah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Paroi malam ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Nik Abduh tidak dicalonkan kerana disingkir oleh pimpinan parti di Kelantan seperti dakwaan adik kepada Nik Aziz, Nik Din Nik Mat baru-baru ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berucap pada Program Ceramah Kelompok Paroi Sejahtera sempena kempen Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) di hadapan Masjid At-Taqwa Kampung Paroi, Negeri Sembilan. Foto AFFAN FAUZI, 30 JULAI 2023.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) benar-benar bebas agar rakyat tidak hilang keyakinan terhadap badan tersebut.

BACA: Tuduhan ahli keluarga arwah Nik Aziz tidak jejas undi – Mohd Amar

Menurut beliau, perlu ada satu panduan yang menetapkan perkara yang dibolehkan semasa kempen pilihan raya atau sebaliknya.

“Kita tak mahu sekejap ini bila pembangkang sediakan bas pun tak boleh sedangkan ini terus bagi duit.

“Dalam keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di kerusi Parlimen Kuala Terengganu, benda macam inilah yang dianggap salah oleh mahkamah,” katanya.

Tuan Ibrahim mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang menyifatkan tindakan pemberian geran bernilai RM350,000 oleh kerajaan kepada belia Terengganu adalah tidak menyalahi undang-undang atau berunsur rasuah.

Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pemberian geran membabitkan RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan RM250,000 kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) Terengganu.

Sementara itu, berhubung dakwaan Gerakan mempergunakan Pas dalam kempen PRN Pulau Pinang, Tuan Ibrahim berkata, isu tersebut tidak timbul.

Beliau memberitahu, semua parti komponen bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dan bukan atas nama parti masing-masing.

“Ada tempat kita kuat, kita bantu orang lain, ada tempat kira lemah, orang bantu kita yang penting kita sebagai satu pasukan,” jelasnya.

Berhubung kejadian pintu Pejabat Pas Pusat di Kuala Lumpur yang pecah, Tuan Ibrahim yakin polis akan dapat menyelesaikan siasatan dalam masa terdekat kerana ada bukti melalui rakaman kamera televisyen litar tertutup. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mohd Amar punca Nik Abduh tak jadi calon PRN – Nik Din