Calon Perikatan Nasional (PN) N24 Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selepas selesai menyerahkan borang penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah di Pejabat Daerah Dan Tanah Sik, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 29 JULAI 2023.

ALOR SETAR – Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor telah gagal sebagai Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dan Menteri Besar Kedah, dakwa Datuk Mahfuz Omar.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah itu menjelaskan, ini kerana terdapat pemimpin Pas yang menjadi calon Bebas untuk menentang calon PN di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) di Langkawi.

Kata Naib Presiden Amanah itu, senario itu merupakan sesuatu yang memalukan, sekaligus menunjukkan kelemahan Muhammad Sanusi yang mana tiada kata sepakat di antara Pas dan Bersatu.

“Apa yang berlaku dalam Perikatan Nasional apabila di Langkawi dua DUN ditandingi calon Bebas daripada Pas iaitu dua pemimpin Pas Langkawi yang meletak jawatan dalam parti dan mengisytihar menjadi calon Bebas.

“Mereka membabitkan Timbalan Pas Langkawi dan Timbalan Ketua Pemuda Pas Langkawi.

“Ini menunjukkan pergolakan dalam yang berlaku dalam PN khususnya Pas sekaligus kegagalan Datuk Seri Sanusi sebagai Pengarah PRN dan Menteri Besar Kedah akibat ketidakpuas hati pengagihan kerusi yang dibuat kepimpinannya,” katanya.

Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Operasi Pilihan Raya PH, di sini, hari ini.

Turut hadir, calon PH DUN Pengkalan Kundor, Datuk Dr. Ismail Salleh.

Di Langkawi, kerusi DUN Ayer Hangat menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), PN dan dua calon Bebas.

Ketua Wanita Umno Langkawi, Hisham Suhaily Shamsilah Siru, selain dua calon Bebas terdiri Safwan Hanif Shafie dan Zulfadli Mohd Yusof.

DUN Kuah pula menyaksikan tiga penjuru membabitkan calon daripada dua gabungan parti politik dan seorang Bebas selepas proses penamaan calon selesai jam 10 pagi ini.

Pakatan Harapan (PH) diwakili Ahmad Fauzi Chik daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), manakala PN diwakili Amar Pared Mahamud daripada Bersatu dan Md Isa Ahmad (Bebas). – MalaysiaGazette