Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan Geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar kepada salah seorang veteran tentera.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempengerusikan mesyuarat khas bagi menyelesaikan secara menyeluruh isu skim persaraan veteran berpencen dan tidak berpencen Isnin depan.

Menurut Anwar, isu berkaitan Skim Perkhidmatan dan Persaraan melibatkan golongan itu tidak dibincangkan sejak 10 tahun lalu,

“Walaupun secara umumnya tiap 10 tahun kita buat kajian. Kali terakhir adalah 2012 jadi sepatutnya persiapan itu setahun atau dua tahun sebelum ini.

“Jadi hari Isnin kita adakan mesyuarat pertama secara menyeluruh mengkaji dan membuat pembaharuan dalam Skim Perkhidmatan Awam .

“Dan juga bagaimana boleh meningkatkan kedudukan pendapatan semua skim perkhidmatan ini termasuk yang utama soal veteran dan veteran tidak berpencen,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM di Wisma Perwira, hari ini.

Dalam ucapannya, Anwar berkata, beliau telah berbincang dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamad dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican hari ini bagi menyiapkan kertas kerja.

Beliau turut meminta agar veteran tentera menulis pendapat dan pandangan melalui e-mel kepada pihaknya untuk dipertimbangkan sebelum mesyuarat bermula.

Jelas Anwar, isu kebajikan veteran ATM perlu diatasi secara muktamad sambil menambah pemberian bantuan secara one off tidak menyesaikan masalah yang dihadapi golongan tersebut.

“Saya dulu Ahli Parlimen Port Dickson veteran ramai, pergilah kampung mana pun (veteran) asyik mengeluh sahaja.

“Penyelesaian (yang ada) hanya bersifat sementara bukan menyeluruh. Sebab itu buat kali pertama Kerajaan Perpaduan memasukkan agenda veteran tidak berpencen dalam Skim Perkhidmatan dan Persaraan.

“Kita boleh (sahaja) teruskan dengan janji-janji lunak dan sedikit habuan satu dua bulan tetapi bagi saya itu tak dapat menyelesaikan,” tegasnya.

Sementara itu Anwar berkata, mesyuarat Kabinet Rabu ini juga akan membincangkan isu kebajikan veteran tentera.

Beliau akan meminta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Luar Bandar dan Wilayah agar mengarahkan agensi di bawahnya memberi ruang dan peluang kepada golongan veteran tentera.

Anwar juga akan meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Petronas dan Khazanah untuk menyediakan peluang kepada mereka.

Menurut beliau, pada waktu ini hanya beberapa agensi seperti Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengambil tanggungjawab membantu golongan veteran.

Pada majlis tersebut Anwar turut menyerahkan Geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar bernilai RM5,000 kepada lima veteran tentera. Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan. – MalaysiaGazette