ISKANDAR PUTERI – Polis berjaya mematahkan kegiatan haram sindiket yang berselindung di sebalik sebuah kilang sebagai makmal memproses dadah jenis ketamin.
Ia terbongkar apabila premis tersebut diserbu polis dalam kejadian pada Selasa minggu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, operasi pukul 7.30 malam hingga 12 tengah malam itu pihaknya menangkap empat lelaki yang berusia 28 hingga 44 tahun dalam dua serbuan – masing-masing di kawasan makmal tersebut dan di tepi jalan.
Hasil saringan ujian air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis ketamin manakala dua suspek turut mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.
Menerusi serbuan itu juga, polis merampas 4.63 kilogram (kg) ketamin bernilai RM277,860 dan 166 liter cecair ketamin bernilai RM1.85 juta. Selain itu, turut dirampas pelbagai perkakas memproses dadah, beberapa buah kenderaan, jam tangan dan wang tunai bernilai RM2.45 juta.
Kamarul Zaman pada sidang media hari ini memberitahu, modus operandi sindiket yang aktif sejak April lalu adalah dengan menjadikan sebuah premis kilang yang tidak papan tanda sebagai pusat memproses dadah.
“Kesemua suspek telah dikenakan tahanan reman bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh juga dikenakan sebatan,” katanya.
Dalam masa sama, polis masih memburu tiga individu yang dipercayai ahli sindiket dadah yang sama iaitu T. Prakash, 33, S. Steven, 48, dan Mohamad Basir Nahupicher, 32.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan sejak Januari sehingga 26 Julai, pihaknya telah menahan seramai 9,787 suspek berkait pelbagai kesalahan dadah dengan rampasan dadah bernilai RM27.17 juta.-MalaysiaGazette