PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum berhasrat memperkenalkan sebarang garis panduan atau peraturan berhubung kesalahan rasuah yang dilakukan calon bertanding dalam pilihan raya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, semua pihak diminta memahami undang-undang sedia ada di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang diwujudkan sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan.
“Kalau tengok akta itu, ia bukan diwujudkan pada tahun 2014 atau 2023, maknanya telah ada sebelum merdeka lagi.
“Jadi, kita belum berhasrat untuk kemukakan atau lancarkan apa-apa garis panduan kerana ia sudah ada undang-undang dan perlu mematuhinya.
‘Dalam Seksyen 10 juga secara jelas menjelaskan apa yang boleh dibuat dan tidak perlu dilakukan oleh agen dan juga calon. Mereka perlu patuh dan memahami kesalahan dinyatakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pemakaian Vest Body Worn Camera di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai saranan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggesa kerajaan menyediakan satu panduan khas berhubung pemberian bantuan khas semasa pilihan raya.
Menurut Tuan Ibrahim, perkara itu penting agar semua pihak mengetahui bentuk bantuan apa yang dibenarkan.
Tuan Ibrahim turut mengingatkan SPRM perlu bertindak secara bebas agar rakyat tidak hilang kepercayaan kepada institusi seperti SPRM.
Sebelum itu, Azam menyifatkan geran RM350,000 diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada belia Terengganu sebagai pemberian dari pemerintah dan tiada unsur rasuah.
Sumbangan diumum timbalan perdana menteri itu membabitkan RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan RM250,000 Majlis Belia Malaysia (MBM) Terengganu yang dipersoalkan pelbagai pihak kerana dibuat menjelang PRN enam negeri.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu kecurian unsur nadir bumi (REE) melibatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Azam menegaskan, siasatan bagi kes berkenaan masih lagi dijalankan.
Katanya, setakat ini status yang ditangkap berkaitan kes itu masih lagi empat orang dan pihaknya akan memanggil lebih ramai saksi untuk siasatan lanjut.
“Bukan isu wang semata-mata, tapi isu pematuhan dalam keputusan REE. SPRM ini kita bukan saja siasat ( tapi kita siasat berhubung kesalahan rasuah salah guna kuasa dan sebagainya.
“Tapi tangunggjawab kami di bawah Seksyen 7 adalah untuk melihat sistem dan prosedur yang ada sekiranya ada berlaku kelemahan,” ujarnya. – MalaysiaGazette