KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor memutuskan untuk membatalkan permohonan pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Penyuraian Trafik Petaling Jaya (PJD Link) di kawasan Bandaraya Petaling Jaya.
Datuk Seri Amirudin berkata, pihaknya tidak berpuas hati dengan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), Kajian Penilaian Impak Sosial (SIA), dan Kajian Penilaian Impak Trafik (TIA) yang dikemukakan syarikat pemaju.
“Pentadbiran ini tidak berpuas hati dengan pelan yang dikemukakan kerana tidak menepati syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri,” kata Menteri Besar Selangor menerusi kenyataan.
Kata beliau, pada awalnya cadangan pembinaan lebuhraya tersebut mendapat kelulusan prinsip daripada Jemaah Menteri Persekutuan pada 12 November 2017.
Cadangan berkenaan kemudian dibawa kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) pada 3 September 2020 dan diberi ruang untuk kajian dijalankan dengan melibatkan penduduk di kawasan Petaling Jaya.
Seterusnya, ia dibentangkan kepada Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan pada 12 November 2021 melalui Memorandum Jemaah Menteri untuk kelulusan bersyarat supaya cadangan ini memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Sebelum perjanjian dimeterai, perjanjian konsesi antara Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional dan pemaju berkenaan telah ditandatangani pada 5 April tahun lalu dengan syarat syarikat berkenaan melaksanakan secara penuh EIA, SIA dan TIA.
MalaysiaGazette pada April lalu melaporkan, penduduk sekitar Kinrara mendakwa alasan pembinaan lebuh raya tersebut untuk menyelesaikan masalah kesesakan adalah tidak munasabah apabila kawasan yang terlibat mempunyai kemudahan pengangkutan awam.
Dalam masa yang sama, pembinaan tersebut akan mengakibatkan penebangan pokok-pokok yang boleh mengakibatkan berlakunya banjir lumpur di sekitar perumahan yang terlibat.- MalaysiaGazette