Azam bergambar bersama pegawai dan anggota SPRM selepas Majlis pemakaian kamera badan pada vest yang digunakan oleh anggota dan pegawai SPRM ketika menjalankan tugas.

PUTRAJAYA – Pemakaian kamera badan (BWC) oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa menjalankan tugas merupakan satu langkah untuk mengelakkan tohmahan jahat terhadap suruhanjaya itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya melihat BWC sebagai titik tolak penting di saat SPRM menjadi agensi yang amat diberi perhatian oleh semua pihak.

Malah katanya, penggunaan alat itu diharap boleh membuktikan ketelusan ketika pegawai agensi itu menjalankan tugas terutama ketika operasi.

“Ketelusan amat penting kerana kita tidak mahu SPRM disyak wasangka dengan pelbagai tohmahan,” katanya menerusi ucapan majlis pelancaran pemakaian kamera badan (BWC) dan jaket SPRM, di sini hari ini.

Sementara itu, pada sidang medianya, Azam berkata, sebanyak 142 BWC diedarkan kepada pegawai di ibu pejabat dan negeri secara berperingkat.

“Setakat ini, kita membeli sebanyak 142 unit dengan bajet yang terhad dan akan membekalkannya kepada pegawai terlibat operasi penting di Ibu Pejabat SPRM dan di negeri-negeri.

“Jadi, dengan penambahan bajet yang diterima SPRM daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kita akan tambah lagi penggunaan BWC berikutan risiko rosak akibat kekerapaan penggunaan juga tinggi,” ujarnya.

Pemakaian BWC bertujuan merekod secara audio dan visual setiap tugasan serta peristiwa berlaku semasa proses siasatan dijalankan SPRM.

Ia termasuklah bagaimana suspek atau saksi dikendalikan oleh pegawai SPRM sepanjang tempoh siasatan sekali gus memastikan setiap pegawai termasuklah mereka yang membantu siasatan atau suspek sentiasa dilindungi di bawah penguatkuasaan undang-undang.

Dalam pada itu, Azam berkata, pembelian BWC juga tidak menelan belanja tinggi berikutan peranti itu dibeli terus daripada pembekal dengan mengikut harga ditetapkan dalam pasaran.

“Jika kita beli sistem, maknanya ia akan disimpan dalam bentuk data, jadi kerana mahu jimatkan masa dan lebih praktikal, kita guna kamera ini secara sendirian di mana kad SD akan disimpan untuk rujukan jika ada keperluan untuk ke mahkamah atau isu-isu lain,” katanyanya. – MalaysiaGazette