Mohd Zaidy mendekati pengundi dalam kempen di Felda Palong 2, Jempol.

JEMPOL – Calon Barisan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir mengakui berdepan cabaran besar mempertahankan kubu kuat MIC itu sejak enam penggal lalu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Menurutnya, yang kali pertama bertanding pada PRN, kemenangan UMNO di kerusi itu bagaimanapun tidak mustahil untuk diterjemahkan pada 12 Ogos ini.

Ia memandangkan DUN berkenaan mempunyai kira-kira 8,326 pengundi Melayu, India (5,491), Cina (1,590) dan lain-lain kaum termasuk Orang Asli seramai 877 pengundi.

Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir

“Saya akan bekerja keras memastikan jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) untuk mengekalkan kemenangan BN yang tidak pernah tewas di sini sejak 30 tahun lalu.

“Malah, saya melihat Jeram Padang adalah contoh kewujudan Kerajaan Madani apabila 16,284 pengundinya yang berbilang kaum terdiri daripada masyarakat Melayu, India, Cina dan Orang Asli,” katanya ketika ditemui pemberita pada kempennya di Felda Palong 2, semalam.

Bekas Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan itu berkata, beliau akan menggunakan segala kelebihannya untuk memenangi hati kira-kira 3,000 pengundi muda melalui pelbagai program yang telah diatur sepanjang tempoh 14 berkempen.

“Sebab itu, saya memilih bergerak dari rumah ke rumah untuk bertemu pengundi terutamanya anak muda kerana mereka tak suka dengan ceramah tapi mahu didekati dengan cara berbeza seperti bermain futsal dan sukaneka.

“Selain itu, kempen mengunakan media sosial seperti TikTok juga menjadi medium baik untuk meraih undi,” katanya yang menggunakan nama Tok D dalam kempennya kali ini.

Mohd Zaidy mengakui berdepan cabaran besar apabila buat pertama kalinya UMNO akan mempertahankan satu-satunya kubu kuat MIC di Negeri Sembilan, DUN Jeram Padang sejak enam penggal lalu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Ditanya mengenai pencabarnya Zaidy berkata, beliau tidak boleh memandang rendah kekuatan calon PN, Datuk Seri S Surash yang mendapat 2,640 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu walaupun beliau bertanding atas tiket Bebas selepas memilih keluar daripada MIC.

“Beliau ada kekuatannya di situ lebih-lebih lagi DUN ini mempunyai lebih 5,000 pengundi India sebab itu saya turut meminta bantuan MIC membantu kempen kita terutamanya di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Jaya,” katanya.

Pengerusi MIC Negeri Sembilan dan bekas Exco, Datuk L. Manickam memenangi kerusi DUN Jeram Padang pada 2013 dan berjaya mempertahankannya pada 2018 walaupun BN tumbang pada PRU14 akibat tsunami politik.

Pada PRU14 lalu, Manickam memperoleh 3,702 undi menewaskan Surash yang mendapat 2,640 undi, calon Parti Keadilan Rakyat (2,302) dan Pas mendapat 785 undi.

Beberapa ADUN sebelum beliau ialah Datuk M Sundram (PRU9), Datuk T Rajagopalu (PRU10), L Krishnan (PRU11) dan Datuk VS Mogan (PRU12). – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast