KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang menumpu usaha mewujudkan lokasi ala Sekinchan yang berskala besar dalam usaha menjamin bekalan beras di negara ini mencukupi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah segera juga sedang diambil bagi melebarkan sawah padi sama seperti di Sekinchan.
Katanya, usaha itu dibuat dengan tujuan untuk membuka ruang pekerjaan kepada semua.
“Kita tak mahu lagi orang menyebut, aku tiada kerja aku hanya buat bendang. Kita mahu pada masa akan datang mereka sebut, “aku pesawah, kerja aku buat bendang”, motivasi ini kita kena teruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) ke-38 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, kementeriannya juga sedang merancang untuk melaksanakan projek tanaman padi menggunakan air masin.
Katanya, perkara itu kini dalam perbincangan dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mengambil langkah supaya padi dalam air masin dapat ditanam di Malaysia seperti di China.
Tambah beliau, usaha unutk melaksnakan perkara itu mengambil sedikit masa kerana ia memerlukan infrastruktur bagi membolehkan 100,000 hektar tanaman dengan lima musim untuk dua tahun.
Terdahulu pada majlis perasmian itu, Mohamad menyeru supaya NEKMAT, Persatuan Nelayan Negeri (PNN) serta Persatuan
Nelayan Kawasan (PNK) untuk bergerak bersama dengan tahap kesiapsiagaan yang tinggi bagi menyokong agenda Kementerian dalam memartabatkan sektor perikanan negara.
Beliau yakin di bawah setiap perwakilan terpilih, NEKMAT akan terus diperkasakan menjadi sebuah institusi yang kompeten dan berdaya saing di setiap peringkat supaya kebajikan nelayan yang merupakan aset penting bagi sektor perikanan negara terus terpelihara. – MalaysiaGazette
















