Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir ke mahkamah bagi prosiding kes rasuah Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 10 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) belum membuat keputusan berhubung representasi yang dikemukakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menggugurkan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram melibatkan Yayasan Akalbudi.

Ketua Unit Rayuan dan Perbicaraan AGC, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar berkata, ini kerana kerana pasukan petugas khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam proses menyiasat isu yang dibangkitkan oleh Timbalan Perdana Menteri itu.

“Pasukan petugas khas masih belum selesaikan jalankan tugas, tidak ada lagi keputusan dalam proses siasatan,” katanya di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Sebelum ini, peguam mewakili Ahmad Zahid, Hamidi Mohd Noh berkata, beliau telah menulis surat representasi pada Januari lalu dan menghantar kesinambungan serta representasi baharu dengan beberapa fakta dan bukti baharu berhubung pertuduhan itu kepada AGC pada Februari.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dan Presiden UMNO berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah, lapan berhubung rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dana milik yayasan yang diasaskannya itu. -MalaysiaGazette