Calon PSM di Dun Meru, Sivaranjani Manickam, 42.

KUALA LUMPUR – Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru mencabar semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) mengisytiharkan harta masing-masing.

Sivaranjani Manickam berkata, sebagai calon tindakan sedemikian penting bagi mengelakkan budaya mengumpul harta dalam dunia politik.

Ujarnya, bukan sahaja sebelum bertanding, pengisytiharan harta juga perlu dibuat selepas calon memenangi PRN sebagai bukti ketelusan.

“Setelah menang, ahli politik mesti isytihar. Ini proses ketelusan, supaya orang ramai tahu, sebelum pilihan raya, calon ini ada harta sebanyak ini, dan setelah menang, hartanya tidak menunjukkan pertambahan radikal, macam 10 biji rumah. Sebab itu pengisytiharan aset merupakan tradisi PSM untuk politik terbaik,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata demikian selepas mengisytiharkan aset bersih sebanyak RM290,000 pada hari ini.

Sivaranjani yang berusia 42 tahun memiliki sebuah pangsapuri mampu milik yang dibeli pada tahun 2019 pada harga RM150,000 melalui pinjaman daripada rakannya.

Sivaranjani mempunyai dua buah kereta, sebuah Perodua Axia dan sebuah Proton X 50, masing-masing dibeli pada tahun 2017 dan 2022 untuk beliau dan keluarga.

Beliau masih mempunyai hutang untuk kereta Perodua Axia manakala hutang Proton X 50 sedang dijelaskan oleh seorang ahli keluarganya selain mempunyai liabiliti bersih sebanyak RM81,000.

Mengulas lanjut katanya, semua calon perlu berani membuat pengisytiharan harta sebagai bukti sumber pendapatan yang diterima tidak terlibat dengan unsur salah guna kuasa atau rasuah.

Sivaranjani yang merupakan calon tunggal PSM bagi PRN berdepan dengan calon Pakatan Harapan (PH), Mariam Abd Rashid dan Hasnizam Adham dari Perikatan Nasional (PN). -MalaysiaGazette