Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar

SEPANG – Kenyataan tular yang mendakwa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilarang memasuki Arab Saudi adalah palsu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, perkara itu disahkan oleh Kedutaan Arab Saudi semalam.

“Saya telah hubungi Kedutaan Arab Saudi semalam untuk dapatkan kepastian. Saya dimaklumkan oleh Timbalan Duta Besar Arab Saudi bahawa kenyataan tular itu adalah palsu,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyambut seramai 270 jemaah haji Malaysia yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur jam 1.30 tengah hari tadi.

Mengulas lanjut, beliau juga melahirkan rasa hairan dengan motif penyebaran dakwaan yang tidak benar itu.

“Hanya Allah yang tahu (niat pihak tidak bertanggungjawab), namun saya harap semua pemimpin politik dan mereka yang dicalonkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dapat berkempen secara sihat,” ujarnya.

Tambah Mohd Na’im, ahli politik dinasihat tidak mengamalkan kempen fitnah, mencerca pihak lawan dan menjatuhkan maruah orang lain terutama ketika musim PRN ini.

“Paling utama ialah kita tumpu kepada polisi dan dasar yang ingin dibawa kepada rakyat tanpa memprejudiskan pihak lain,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap perbezaan strategi politik tidak menjadi faktor berlakunya kehancuran perpaduan yang telah dicapai hari ini. – MalaysiaGazette