Kumaran Krishnan (empat dari kiri) bersama calon PH DUN Perai S.Sundarajoo di ceramah dan pembukaan pusat operasi DUN Bagan Dalam sempena PRN Pulau Pinang di Bagan malam tadi.

BUTTERWORTH – Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam, Kumaran Krishnan mengetengahkan lapan aku janji kepada pengundi.

Mengembalikan semula feri warisan Pulau Pinang yang telah dihentikan operasinya beberapa tahun lalu menjadi fokus utamanya.

“Saya tahu kita masyarakat di Bagan terutama di Bagan Dalam Bagan Jermal, Raja Uda semua rindu dan sedih dengan ketiadaan feri ikonik kita yang telah diberhentikan operasinya.

“Saya telah masukkan isu feri warisan Pulau Pinang ini dalam manifesto PRN kali ini dan jika anda menangkan saya kali ini, saya berjanji akan mengusahakan dengan berbincang bersama kerajaan negeri dan Persekutuan untuk mengembalikan semula perkhidmatan feri yang sangat dirindui semua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majis pembukaan pusat operasi PH DUN Bagan Dalam oleh Pengerusi DAP, Lim Guan Eng bersama calon DUN Perai, Datuk Seri Sundarajoo Somu, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ramkarpal Singh.

Dalam ucapan sama, Kumaran yang juga ahli perniagaan berusia 45 tahun itu menambah, isu menaik taraf infrastruktur jalan raya juga menjadi agendanya.

Beliau juga mahu mempromosi perpustakaan digital yang diwujudkan di kawasan tersebut sebagai menggalakkan lebih ramai anak muda  menjadikan budaya membaca sebagai amalan.

“Malah soal kebajikan kanak-kanak juga antara satu lagi perkara penting yang saya utamakan dalam manifesto PH Bagan Dalam kali ini bagi memastikan tiada siapa pun ketinggalan dalam arus pembangunan dan kesejahteraan hidup,” ujarnya.

Selain itu Kumaran berazam mahu merekodkan kemenangan dengan undi majoriti yang besar berbanding rekod yang dilakukan PH pada 2018.

“Saya tahu kemenangan sudah pasti berada dalam genggaman PH pada 12 Ogos ini tetapi saya mahu memastikan kita menang dengan memperoleh jumlah undi majoriti yang lebih besar dan cemerlang pada kali ini berbanding keputusan PRU 2018.

“Untuk itu anda sebagai pengundi perlu memberi sokongan dan dokongan kepada saya seorang calon berwajah baharu untuk berkhidmat kepada anda setiap masa tanpa memilih bulu,” katanya.-MalaysiaGazette