KUALA LUMPUR – Platform bersepadu “single window” menerusi pendigitalan, dikenali sebagai Xpats Gateway, dapat memendekkan masa kelulusan dan menyeragamkan prosedur, sekali gus meningkatkan kecekapan pengeluaran pas penggajian.

Xpats Gateway merupakan hasil sinergi inovasi antara Kerajaan dan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dalam meningkatkan kecekapan pengeluaran pas ekspatriat di bawah seliaan Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah memudahcara inisiatif ini dengan kerjasama strategik yang melibatkan lebih daripada 20 agensi kerajaan dalam memastikan pelaksanaan inisiatif rentas agensi ini bakal mentransformasikan tadbir urus inisiatif yang berimpak tinggi.

Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr. Mazrina Mohamed Ibramsah berkata, Xpats Gateway memanfaatkan teknologi digital dengan menyatukan semua agensi pelulus (AP) dan agensi kawal selia (AKS) di bawah satu platform tetingkap tunggal yang bersepadu.

“Kini, semua AP dan AKS boleh memproses dan meluluskan surat sokongan bagi permohonan pas penggajian dengan lebih telus menerusi sistem Xpats Gateway secara dalam talian seawal lima hari bekerja,” katanya.

Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan ketelusan dan kecekapan kerajaan sebagai salah satu strategi Memperkasa Ekonomi Madani.

Tambah Mazrina, MPC sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan kementerian dan agensi dalam menambahbaik tadbir urus dan meningkatkan kecekapan kerajaan bagi memacu produktiviti negara.

Menurut International Institute for Management Development (IMD), World Competitiveness Ranking (WCR) melaporkan Malaysia mencapai kedudukan ke-29 bagi indikator Government Efficiency pada tahun ini berbanding kedudukan ke-38 pada tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette