Calon Perikatan Nasional (PN) N24 Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor beramah mesra bersama penyokong yang hadir ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah di Taman Sri Puteri Kuala Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 01 OGOS 2023.

KUALA KEDAH – Menteri Besar (MB) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengakui pernah bergambar bersama seorang warga China yang dikenali Mr So dan ia diambil pada majlis Hari Raya Aidilfitri sebelum ini.

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau bukan sahaja bergambar bersama individu itu sahaja namun dengan ramai lagi tetamu lain.

Beliau menjelaskan, ini kerana Mr So itu pernah datang ke pejabat untuk urusan kegiatan unsur nadir bumi (REE) kerana syarikatnya sudah terlibat Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah sebelum menjadi MB Kedah.

“Saya bergambar dengan orang bujang, ada gambar dengan perempuan, semua ada, tengok tadi berapa ramai hendak tangkap gambar dengan saya.

“Sayakan popular, itu gambar Mr So ambil pada hari raya kot, ada orang tunjuk tadi.

“Baru saya tahu dia adalah So Loi Fat, dia tak boleh cakap Bahasa Inggeris, tak boleh cakap Bahasa Malaysia dan dia bawa penterjemah bernama Mendi dan saya lebih kenal Mendi daripada dia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas berucap pada Majlis Sembang Santau Calon DUN Kubang Merotan di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pendedahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini mengenai bukti terbaru isu kecurian REE termasuk gambarnya bersama seorang warga China yang dikaitkan dengan kegiatan itu.

Saifuddin yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) berkata, gambar individu yang dipercayai So Loi Fat itu adalah salah seorang daripada dua pekerja mahir yang dibawa masuk MBI Kedah.

Selain itu, Saifuddin turut mendedahkan dokumen permohonan Pas Lawatan Ikhtisas yang dipohon dan ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBI, Muhammad Sobri Osman.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi memberitahu, Mr So telah datang ke pejabatnya dan mengadu sudah berurusan dengan MBI sebelum ini.

Beliau mendakwa, individu itu mengakui sudah habis berbelanja RM30 juta untuk mendapat kontrak REE.

“Dialah cerita pada saya sudah beri kepada MBI sebelum ini, dia habis RM30 juta macam-macam dia buat persiapan, sudah ada perjanjian dengan MBI sebelum saya masuk pejabat Menteri Besar lagi.

“Jadi saya kata teruskan sahaja buat apa hendak buat pastikan ikut undang-undang.

“Jadi tuduhan Saifuddin kata saya ini, buat surat suruh Mr So masuk Malaysia, saya tak masuk di pejabat dan dia sudah ada di Malaysia lama.

“Saifuddin kena semak balik maklumat dia, kot ada pihak hendak perkena dia dan agensi beri maklumat kepada dia untuk perkenakan dia,” katanya.

Muhammad Sanusi menambah, Mr So itu pernah datang ke pejabat bersama seorang peguam yang merupakan kawan baik Saifuddin.

Beliau mendakwa mereka berdua pernah bekerjasama ketika berada dalam Sekretariat Pakatan Harapan.

“Dua-dua ini pentaksub (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan merupakan rakan kerjasama, mereka buat kerja jadi penasihat kepada syarikat.

“Lepas itu, peguam Izhar ini datang pula dengan Datuk Fathir Bahri iaitu bekas Exco Pemuda UMNO kerana dia adalah pengerusi syarikat Mr So.

“Aktiviti syarikat belum berjalan sebenarnya kerana dia belum dapat lesen melombong sebab kementerian tidak ada SOP REE lagi.

“Kejadian curi orang lain, itu semua Saifuddin tahu, dia sahaja lontar untuk saya jawab.

“Itu saya tidak ada jawapan sebab itu hasil siasatan agensi penguat kuasa yang tidak dedah pada saya,“ katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast