Kogilan menunjukkan surat peletakan jawatannya dalam DAP.

GEORGE TOWN – Ahli Jawatankuasa Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pulau Pinang, M. Kogilan mengumumkan keluar dari parti berkuat kuasa hari ini.

Kogilan yang merupakan ahli seumur hidup DAP turut memaklumkan melepaskan semua jawatan membabitkan parti yang dipegangnya.

“Berat dan sedih untuk saya buat keputusan untuk meninggalkan parti namun tindakan ini diteruskan disebabkan pemimpin-pemimpin tertinggi DAP pusat dilihat tidak berprinsip.

“Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa DAPSY Pulau Pinang yang memberi kepercayaan dan peluang kepada saya selama ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Ditanya perancangan seterusnya dalam politik, Kogilan akan terus berkempen bersama dua calon bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai dan Bagan Dalam buat masa ini.

“Buat masa ini, saya fokus Pilihan Raya Negeri (PRN) dan kami akan bangkit demi memastikan DAP di bawah pimpinan mereka yang berprinsip,” katanya.

Sebelum ini, Kogilan mempertikaikan mengapa nama Pengerusi DAP, Lim Guan Eng tidak digugurkan sebagai calon PRN sekiranya parti mahu mengamalkan konsep ‘meremajakan parti’.

Selain itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam M. Satees dan bekas Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai, David Marshel juga mengumumkan keluar dari DAP selepas mendakwa wujud seorang ‘maharaja’ dalam parti yang menentukan semua keputusan tanpa sebarang perbincangan.

Masing-masing mereka turut bertanding bebas pada PRN kali ini. – MalaysiaGazette