ALOR SETAR – Calon Perikatan Nasional (PN), Baddrol Bakhtiar menghargai sokongan yang diberikan oleh calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya, Altimet mengenai caranya berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Bekas Kapten Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Sabah FC itu berjanji akan memperbaiki caranya terutama ketika berucap di hadapan orang ramai pada masa akan datang.
“InshaAllah.. akan saya perbaiki..semoga Allah permudahkan segala urusan dalam membantu rakyat di kawasan kita InshaAllah..terima kasih Altimet good luck,” tulis bekas pemain Malaysia itu di media sosial.
Sebelum ini, Baddrol dikecam segelintir netizen kerana dia berucap berpandukan teks ucapan yang disediakan ketika berkempen.
Namun ada juga yang menyokong tindakannya itu kerana Baddrol masih baharu dalam dunia politik dan perlu masa untuk membiasakan diri bercakap di hadapan orang ramai.
Sokongan yang sama diberikan oleh Altimet yang juga seorang penyanyi.
“Bagi dia masa. Semua orang mula dalam keadaa kurang mahir. Berucap ini satu skill yang boleh diasah dengan berlatih,” katanya.
Pada 12 Ogos ini, Altimet yang merupakan Ketua cabang PKR Ampang akan berdepan calon Perikatan Nasional (PN), Sharifah Haslizah Syed Arifin yang juga Ketua Penerangan Pas Ampang di kerusi DUN Lembah Jaya.
Baddrol bakal berdepan calon PH yang merupakan Timbalan Pengarah Strategi PKR Kedah dan anak kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, Mohammed Firdaus Johari. – MalaysiaGazette