OTTAWA – Kanada akan menjadi negara pertama yang mula mencetak amaran pada setiap batang rokok dalam usaha menghalang golongan muda daripada merokok.
Langkah itu juga merupakan usaha mengalakkan perokok berhenti merokok.
Amaran itu akan dibuat dalam bahasa Inggeris dan Perancis, termasuk frasa seperti “Rokok menyebabkan kanser” dan “Racun dalam setiap sedutan”.
Peraturan baharu itu berkuat kuasa pada hari Selasa.
Amaran itu akan diletakkan pada label rokok mulai tahun depan.
Menjelang Julai 2024 pengeluar perlu memastikan amaran diberikan pada semua rokok yang dijual, dan pada April 2025 semua rokok bersaiz biasa dan cerut kecil mesti menyertakan amaran tersebut,
Turut diletakkan ialah amaran tentang kemudaratan rokok pada kanak-kanak, selain merosakkan organ, mati pucuk dan leukemia.
Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha Kanada untuk mengurangkan penggunaan tembakau kepada kurang daripada 5% menjelang 2035 dan mengikuti tempoh perundingan awam selama 75 hari yang dilancarkan tahun lepas.
Kanada telah menghendaki pencetakan label amaran pada bungkusan rokok sejak 1989 dan pada tahun 2000 negara itu mengguna pakai keperluan amaran bergambar untuk bungkusan produk tembakau.
Health Canada berkata, ia merancang untuk mengembangkan amaran dengan mencetak label amaran tambahan di dalam bungkusan itu sendiri, dan memperkenalkan mesej amaran luaran baharu. – Agensi