KUALA LUMPUR – Kenaikan kos bahan mentah, turut memberikan impak kepada pengusaha kantin di sekolah.
Mereka berhadapan dengan cabaran terutama melibatkan kadar harga penyediaan makanan bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang terkesan dengan kenaikan kos barangan semasa.
Namun, segalanya berubah seperti bertemu bukit di tepi telaga apabila Belanjawan 2023 memberi nafas baharu buat mereka.
Timbalan Presiden Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia, Salmah Othman berkata, kenaikan daripada RM2.50 kepada RM3.50 bagi sekolah di Ssemenanjung itu membolehkan hidangan RMT yang disediakan kepada murid menjadi lebih berkualiti.
Dalam Belanjawan 2023, Kementerian Pendidikan (KPM) menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM55.2 bilion meningkat daripada RM52.6 bilion pada iaitu peningkatan RM3.4 bilion berbanding tahun sebelumnya.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan memberitahu bahawa, peruntukan kadar makanan bermasak bagi RMT turut ditambah daripada RM625 juta kepada RM777 juta.
Ia bagi menampung kos penyediaan makanan berkhasiat yang untuk memanfaatkan 700,000 murid dengan peningkatan kepada RM3.50 di Semenanjung serta RM4 bagi Sabah dan Sarawak.
“Pengusaha kantin berniaga untuk dapat rezeki demi menyara keluarga tapi kalau untung tidak dicapai, ia membuatkan ada yang tarik diri terutama pengusaha muda.
“Namun bila kerajaan umum kenaikan ke RM3.50, memang kami lega. Bila harga berpatutan, perkhidmatan pengusaha juga makin baik kerana ia lebih berbaloi,” kata Salmah yang berkecimpung dalam industri tersebut lebih 30 tahun.
Menurut Salmah, 58, kenaikan itu membuktikan kerajaan prihatin dan mendengar suara pengusaha kantin sekolah yang meminta pertimbangan mengenainya sejak beberapa tahun lalu.
Jelasnya, ia membolehkan para pengusaha tidak sekadar berniaga untuk mendapatkan modal kembali kerana ada sekolah terutama di luar bandar yang hampir 100 peratus muridnya penerima RMT.
“Terima kasih kerajaan hari ini, saya juga merayu jika dapat ditingkatkan RMT kepada RM4 bagi Semenanjung adalah lebih berbaloi buat semua pihak, namun langkah awal ini juga cukup buat kami bersyukur,” ujarnya.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif lain dalam Belanjawan 2023 yang boleh dimanfaatkan rakyat, layari https://belanjawan.mof.gov.my/manfaat. – MalaysiaGazette